SHAH ALAM: Warga Indonesia yang dituduh membunuh Kim Chol, yang didakwa sebagai abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam, diarahkan menggunakan minyak bayi untuk dikenakan kepada lelaki berbangsa Cina.

Ia adalah modus operandi untuk melakukan ‘prank’ (usikan) ke atas beberapa lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Siti Aisyah melakukan babak prank itu sebanyak dua kali di KLIA dan klia2 atas arahan lelaki dikenali sebagai Chang, beberapa hari sebelum Kim Chol mati diracun di Balai Berlepas klia2.

Dalam setiap babak usikan itu, Siti Aisyah diminta terus ke tandas untuk membasuh tangan selepas selesai mengenakan mangsa.

Untuk babak prank di pusat beli belah Pavilion dan Hotel Meridien di ibu negara pula, tertuduh pertama itu diarahkan oleh James atau Ri Ji U untuk melakonkan babak berkenaan menggunakan losyen dan menekup muka mangsa dari belakang.

Bagi babak prank untuk dua lokasi di ibu negara, tiada arahan spesifik sama ada mangsa lelaki bangsa Cina atau sebaliknya.

Perkara itu terkandung di dalam rakaman percakapan Siti Aisyah kepada pihak polis yang diajukan peguam bela Gooi Soon Seng ketika menyoal balas saksi pendakwaan kesembilan, Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, 40.

Wan Azirul Nizam bersetuju dengan cadangan Soon Seng berdasarkan rakaman percakapan itu.

Dalam rakaman percakapan itu, Soon Seng mencadangkan bahawa Siti Aisyah memberitahu polis, babak prank dilakukan pada 3 Februari 2017 masing-masing di KLIA dan klia2, di KLIA pada 7 Februari dan di klia2 pada 11 Februari.

Bagi empat prank yang diarahkan oleh Chang di dua lapangan terbang itu, tertuduh pertama dibayar upah sebanyak AS$550 (RM2,156).

Wan Azirul menjawab “saya setuju” dengan cadangan peguam itu.

Chang atau Hong Song Sac adalah salah seorang daripada empat suspek masih bebas yang diperkenalkan oleh James kepada Siti Aisyah di Lapangan Terbang Phnom Penh pada 21 Januari 2017.

Dalam prosiding sebelum ini, James dikenal pasti melalui gambarnya yang ditemui dalam telefon bimbit tertuduh pertama.

Pada hari sama melakukan babak prank di KLIA pada 7 Februari, Siti Aisyah memuat naik posting dalam Facebooknya berbunyi “last day shooting mudah-mudahan dikasi kepercayaan lagi, diperpanjang lagi kontraknya, walaupun badan lelah tetap semangat.”

Posting itu dikemukakan Soon Seng kepada saksi yng kemudian menjawab “saya bersetuju” (berdasarkan kepada posting itu).

Wan Azirul Nizam memberikan keterangan dalam perbicaraan terhadap Siti Aisyah, 26 dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, yang didakwa membunuh Kim Chol bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas, klia2 Sepang kira-kira jam 9 pagi, 13 Februari tahun lalu.

Kedua-dua wanita itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung 27 Februari ini – berita harian