JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 34 tahun maut akibat disimbah cuka getah ketika bergelut dengan kekasihnya yang berusia 50 tahun, dalam kejadian di rumah kedai di Jalan Tembusu, Bandar Tiram di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, kejadian berlaku pada jam 5 pagi di rumah kedai di tingkat satu yang menjadi rumah sewa oleh mangsa yang bekerja sebagai buruh di ladang di Ulu Tiram bersama suspek.

Menurutnya, siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara mangsa dikenali sebagai Sapi’i dan suspek yang juga warganegara Kemboja dengan taraf pemastautin tetap apabila mangsa mahu memutuskan hubungan mereka.

“Pasangan itu tinggal bersama selama dua tahun tanpa ikatan sah. Suspek dikatakan bekerja sebagai tukang urut,” katanya ketika dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kamaluddin berkata, apabila pertengkaran semakin tegang, mangsa dikatakan mengambil cuka getah yang disimpan dalam botol di ruang tamu dan menuangnya ke dalam bekas minuman.

Beliau berkata, mangsa kemudian berpura-pura mahu menyimbah suspek hingga mengakibatkan pergelutan antara mereka.

Katanya, akibat pergelutan itu asid cuka getah berkenaan tertumpah dan terkena badan kedua-duanya.

“Selepas kejadian, suspek memberikan sehelai tuala kepada mangsa untuk lap tubuh akibat terkena cuka getah, namun mangsa terbaring sebelum tidak sedarkan diri di ruang tamu,” katanya.

Kamaluddin berkata, mangsa mengalamai kecederaan teruk di hampir keseluruhan badannya terutama mata, mulut, dada dan kaki, manakala suspek hanya cedera ringan di wajahnya serta kesan lebam akibat ditumbuk.

Katanya, siasatan awal mendapati cuka getah itu dibeli suspek kira-kira setahun lalu sebagai bahan pelaris, kononnya untuk membolehkan perniagaan menjadi laris kerana suspek mahir dalam urutan tradisional dan bomoh tradisional.

Beliau berkata, suspek ditahan di tempat kejadian dan dihantar untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), dekat sini.

“Mayat mangsa dihantar HSI untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya – berita harian