ALOR SETAR: Leka bermain karom, sekumpulan lelaki warganegara Myanmar tidak menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen yang membuat serbuan di sebuah kedai runcit di Taman Sena, Pokok Sena, malam tadi.

Dalam pemeriksaan Op Gegar jam 8.30 malam itu, lima lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Mereka adalah antara 17 pendatang asing yang ditahan anggota penguat kuasa kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi selama enam jam bermula jam 5 petang di sekitar Pokok Sena dan Kuala Nerang.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin, berkata dalam operasi itu seramai 49 orang pelbagai warganegara diperiksa membabitkan sembilan lokasi berasingan.

Daripada jumlah itu, katanya, 10 lelaki dan tujuh wanita terdiri warga Thailand, Myanmar dan Kemboja berusia di antara 16 dan 50 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, dalam serbuan di lokasi pertama, dua lelaki warga Thailand ditahan selepas dikejar sejauh 100 meter ketika cuba melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit, diikuti penahanan tiga lelaki dan empat wanita juga warga Thailand di restoran ala Thai berhampiran.

“Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa di lokasi ketiga, seorang wanita warga Thailand melarikan diri sejauh 50 meter ke dalam kawasan semak melalui pintu belakang kedai makan tetapi dapat ditahan.

“Kemudian, kami menahan dua wanita warga Kemboja di tepi jalan Kampung Tanjung dan KM8, Jalan Kuala Nerang dipercayai dalam perjalanan untuk menjual tudung dari rumah ke rumah, manakala di lokasi terakhir, lima lelaki warga Myanmar ditahan ketika leka bermain karom dalam sebuah kedai runcit,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati kesemua mereka melakukan kesalahan melanggar syarat pas diberikan dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, kesemua warga asing terbabit akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut – berita harian