TELUK INTAN: Seorang pekerja kilang warganegara Nepal didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Rabu, atas pertuduhan membunuh seorang pemandu lori, 2 Disember lalu.

Tertuduh, Suruj Dev Sah Teli, 32, hanya menganguk faham dan tiada sebarang rekod pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistrest Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

 

Tertuduh yang telah menetap di negara ini selama 10 tahun dituduh membunuh R. Harithas, 34, pada 2 Disember lalu, jam 2.30 pagi di dalam rumah beralamat Lot 3577, Kampung Mutiara Batu 10, Hutan Melintang.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Asyraf Abdul Rashid dan pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Intan Farena  menetapkan 11 Januari 2017 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia mangsa.

R. Harithas ditemui terbaring di ruang tamu rumahnya dalam keadaan berlumuran darah oleh anggota polis selepas menerima laporan isteri mangsa 2 Disember lalu.