TAIPING: Para pendidik perlu bersiap sedia dan sentiasa mempertingkatkan diri dalam ilmu pengetahuan serta teknik pengajaran terkini bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata warga pendidikan kini berdepan cabaran yang mendesak mereka menjadi lebih celik terhadap teknologi dan kaedah mengajar yang kerap berubah.
Menurutnya, peranan guru ketika ini amat besar dan sangat mencabar, jika dibandingkan cabaran yang ditempuhi oleh guru-guru terdahulu.

“Ini kerana ledakan teknologi dan internet yang begitu luas membuatkan pelajar kita kadang-kadang lebih pintar daripada pengajarnya.

“Justeru itu, guru-guru perlu lebih bersedia dan melengkapi diri bagi mengharungi cabaran-cabaran ini, guru-guru perlu up to date,” katanya ketika berucap dalam majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Warga Pendidik, Guru KAFA, PIBG dan Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Agama Rakyat di Kompleks Rakan Muda Kamunting pada Rabu.

Namun begitu, kata Dr Zambry, dalam masa yang sama, warga pendidik juga perlu berpegang kepada matlamat asas pendidikan iaitu merubah masyarakat menjadi lebih baik.

“Kita perlu terus berpegang kepada matlamat pendidikan iaitu untuk merubah masyarakat itu sendiri menjadi lebih baik,” ujar beliau.