MANJUNG – Lebih 500 anak-anak Sabah yang bermastautin di Manjung menerima bantuan berupa beras daripada Yayasan Bina Upaya (YBU) hari ini.

Penerima merupakan mereka yang kurang berkemampuan dan ahli Persatuan Anak-Anak Sabah dan Persatuan Kebajikan Anak Watan Sabah.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata beliau menghargai anak-anak Sabah yang tinggal di Manjung yang sentiasa memberi sokongan pada dan baik kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada semua masyarakat kita dari Sabah yang sudah bermastautin di sini.

“Apabila anda berada di dalam daerah Manjung ini, kita menjadikan anda sebahagian daripada kita.

“Jadi, apabila ada perkara atau masalah-masalah yang berkaitan dengan tuan puan kita minta wakil rakyat untuk sama-sama melihat dan menyelesaikan masalah anda,” ujar beliau ketika berucap di majlis penyampaian sumbangan kepada rakyat Sabah anjuran Persatuan Anak-Anak Sabah dan Persatuan Kebajikan Anak Watan Sabah.

Sebanyak 300 kampit beras diedarkan kepada 150 orang ahli Persatuan Anak-Anak Sabah dan 150 anggota Persatuan Kebajikan Anak Watan Sabah pada majlis tersebut, manakala bakinya akan menerima sumbangan tersebut pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Kira-kira 300 kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun juga menerima sumbangan wang saku pada majlis sama.

Dr Zambry yang merupakan ADUN Pangkor berkata, kerajaan tidak akan meminggirkan mereka malah akan turut menghulurkan bantuan yang diperlukan sepertimana yang diterima oleh rakyat lain di negeri ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penerima yang menghargai dan bersyukur dengan pemberian yang diterima.

“Ini contoh orang yang baik, apabila ada kesusahan mereka dibantu dan mereka bersyukur malah mengucapkan terima kasih.

“Yang penting, mereka ingat siapa yang datang membantu di kala susah,” tambah beliau.

Beliau berharap bantuan yang dihulurkan ini dapat meringankan bebanan dalam mengharungi kehidupan.

Turut hadir ialah isteri menteri besar, Datin Seri Saripah Zulkifli dan Pegawai Daerah Manjung Datuk Mohd Faris Mohd Hanif.

Sementara itu, salah seorang penerima Marbita Tawang, 53, menyatakan kesyukuran beliau kerana terpilih untuk menerima bantuan daripada YBU sejak 2013.

Beliau yang merupakan suri rumah yang berasal dari Keningau, mengikuti suaminya berhijrah ke Manjung sejak 30 tahun yang lalu atas faktor kerja.

“Sebagai rakyat Malaysia saya rasa bersyukur…ada bantuan kotak makanan daripada kerajaan negeri, BRIM pula kami terima daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.