IPOH: Seorang warga Singapura, Maimunah Abdul Hamid, 55, maut apabila motosikal berkuasa tinggi yang dibonceng bersama suaminya terbabas lalu terlanggar besi penghadang jalan di Kilometer 266.5 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Terowong Menora, dekat sini, pagi Jumaat.

Bagaimanapun, suaminya, Abdul Rahim Mohd, 55, juga warga Singapura, hanya mengalami kecederaan ringan di bahu dan kaki.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 4.45 pagi apabila pasangan itu dikatakan dalam perjalanan dari Singapura ke Betong, Thailand.

“Apabila tiba di lokasi kemalangan kenderaan yang dinaiki hilang kawalan dan terbabas melanggar besi penghadang bahu kiri jalan dan terbalik di atas jalan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Menurutnya, Abdul Rahim terjatuh di tengah-tengah jalan manakala Maimunah tercampak ke dalam semak di bahu kiri jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris untuk urusan pengkebumian.