IPOH – Waris kepada enam mangsa korban kebakaran sebuah rumah kedai di Jelapang Maju, 11 Disember lalu masih menunggu keputusan penuh ujian DNA yang dilakukan.

Bapa salah seorang mangsa, Abdul Rahman Bahak, 45, berkata, meskipun sudah lebih dua minggu peristiwa itu berlaku, laporan berkenaan diperlukan bagi mengesahkan identiti anak mereka.

“Walaupun dah selesai semuanya, kami nak tahu juga untuk melegakan hati masing-masing,” katanya ketika ditemui di majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Khairat Kematian kepada waris mangsa kebakaran di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Sri Aman, Menglembu, pada Rabu.

Anak Abdul Rahman, Mohammad Nuraiman, 16, bersama empat rakan, Mohamad Ekmal Izzuddin Mohamad Kamari, 16, Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, 15; Ahmad Faizal Aminuddin, 16 dan Muhamad Azhar Shah Rosli, 19, ditemui rentung dalam kebakaran, dipercayai berpunca daripada bahan letupan yang turut mengorbankan pemilik premis, P Thiagarajan, 40.

Dalam pada itu, seorang lagi bapa mangsa, Mohamad Kamari Talib, 53, meluahkan rasa terkilan kerana sehingga kini, tiada wakil daripada syarikat berkenaan datang berjumpa mereka.

“Kami tidak marah kerana benda dah jadi, tapi sekurang-kurangnya jumpalah kami, ucapkanlah kata maaf atau sebagainya itu pun dah cukup untuk tenangkan hati kami.

“Tenaga (pekerja) mereka mahu, tetapi bila jadi perkara seperti ini, seolah-olah mereka lepas tangan, di rumah mayat pun mereka tidak bertemu kami walaupun mereka juga ada di sana,” katanya.

Aminuddin Tan, 40, pula berkata, selepas lebih dua minggu insiden itu berlaku, barulah mereka diberi kekuatan mengunjungi lokasi kejadian.

“Rasa pilu hati bila tengok bangunan itu, terasa seperti mereka masih ada di sana, tengah bekerja,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, Jabatan Pendidikan Negeri Perak menyampaikan Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok sebanyak RM5,500 kepada setiap mangsa yang masih bersekolah.

Turut menyampaikan sumbangan, Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI) melibatkan jumlah keseluruhan RM6,000, Masjid Abdul Rahman Auf di Kampung Rapat Koperasi dan Masjid Menglembu masing-masing RM2,500 dan RM1,000.