IPOH: Waris ibu tunggal yang meninggal dunia dipercayai dibunuh minggu lalu, menerima faedah Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pengarah PERKESO Negeri Perak, Noorhanita Mohamad berkata, selain anak bongsu mangsa menerima pencen bulanan RM285, waris juga layak menerima faedah pengurusan jenazah sebanyak RM1,500.

Menurut beliau, melalui kaedah itu, hanya seorang anak Allahyarhamah Hamidah Abdul Rahman, 53, menerima 3/5 daripada pencen berkenaan kerana tiga lagi anaknya telah berumur lebih 17 tahun.

“Apabila mendapat maklumat mengenai kes ini melalui media, kami terus menyiasat latar belakang Allahyarham dan mendapati beliau pernah mencarum dengan PERKESO,” katanya pada majlis penyerahan cek di kediaman adik mangsa di sini pada Jumaat.

Hadir sama adik mangsa, Mat Razali Abdul Rahman, 48, dan tiga anak mangsa, Noor Sharina Hussin, 29, Sharizal, 23, dan Noor Shairah 17, manakala anak sulongnya yang berumur 30 tahun tinggal di Kuala Lumpur.

Noorhanita memberitahu, walaupun sudah lama tidak mencarum tetapi hasil siasatan pihaknya mendapati waris mangsa layak untuk menerima faedah dan pencen yang berkenaan.

“Kita ada pasukan khas yang menyiasat, jika dahulu lazimnya waris yang datang membuat tuntutan tetapi sekarang pasukan kami sendiri pergi mencari waris pencarum,” ujarnya.

Sementara itu, anak bongsu mangsa, Noor Shairah yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini mengakui masih terkejut dengan kejadian pembunuhan ibunya.

7068f734-741d-427a-b007-779ee1993544

Menurut pelajar SMK Rapat Setia itu, jika dahulu dia tidak mahu melanjutkan pelajaran di luar Ipoh kerana mahu menjaga ibunya, tetapi kini dia berazaman untuk belajar bersungguh-sungguh dan melanjutkan pelajaran walau di manapun.

“Dulu masa ibu ada, memang saya tidak mahu ke kolej yang jauh tetapi sekarang ibu sudah tak ada, saya akan belajar walau di manapun,” ujarnya.

Sharizal pula berkata, mereka sekeluarga masih tidak percaya kehilangan ibu secara tiba-tiba.

“Ibu sangat gembira kerana akan berkahwin tidak lama lagi dan kami tumpang gembira, tetapi sekarang kami masih sukar untuk percaya ibu sudah tidak ada lagi,” katanya.

Sementara itu, Mat Razali berkata, kakaknya telah membuat persiapan perkahwinan, termasuk baju pengantin.

“Setelah lama hidup sendiri (kira-kira 10 tahun), sudah tentu dia gembira kerana ada orang yang sudi menjaganya, banyak persiapan telah dibuat,” ujarnya.