PUTRAJAYA: Waris mangsa tragedi MH370 menyerahkan lima serpihan dipercayai daripada pesawat berkenaan yang ditemui di Madagascar kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Lima serpihan itu ditemui oleh nelayan tempatan sejak Disember 2016 hingga Ogos tahun ini di tiga lokasi berasingan di Madagascar.

Loke berkata, serpihan berkenaan akan diserahkan kepada pasukan penyiasat keselamatan pesawat MH370 untuk dianalisis.

“Kita tidak menutup sebarang kemungkinan jika terdapat bukti baharu.

“Jika ada sesiapa yang mempunyai bukti meyakinkan, kita terbuka untuk membuka pencarian semula,” katanya kepada pemberita selepas menerima serpihan berkenaan daripada keluarga mangsa pesawat MH370 di sini, hari ini.

Antara serpihan itu ialah panel lantai kapal terbang selain serpihan mempunyai nombor dan label yang masih boleh dibaca.

Sementara itu, dalam sidang media bersama waris, Grace Nathan yang juga anak kepada penumpang, Anne Daisy, berharap pencarian itu dapat diteruskan bagi mendapatkan lebih banyak bukti berkaitan dengan pesawat berkenaan.

“Saya sangat sedih kerana sejak lima tahun lalu, serpihan ditemui oleh orang awam tetapi pihak penyiasatan tidak menemui apa-apa.

“Saya berpendapat, pihak yang berkenaan perlu mengambil inisiatif melakukan pencarian,” katanya – berita harian