KUALA KANGSAR: Beberapa individu dipercayai waris kepada lima mangsa yang rentung dalam kemalangan membabitkan treler yang membawa muatan bijih besi dengan sebuah kereta di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara semalam, tampil membuat pengecaman mayat mangsa.

Semua waris mangsa berada di Unit Forensik Kuala Kangsar seawal jam 9 pagi sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar berhubung kemalangan itu.

Pemilik kereta jenis Kia Forte yang terbakar dalam kemalangan itu, Tan Win Han, 30, mendakwa ibunya, Lee Len Ying, 60 mungkin seorang daripada lima mangsa yang rentung dalam kemalangan itu.

Katanya, ibunya dan beberapa individu lain dipercayai dalam perjalanan dari Selangor menghala ke Taiping untuk menghadiri aktiviti keagamaan.

“Saya dapat tahu mengenai kejadian itu menerusi laporan berita daripada sosial media. Ahli gereja (di Taiping) ada menghubungi saya semalam dan bertanyakan kenapa ibu saya masih belum tiba di Taiping kerana mereka semua sudah sampai ke destinasi dengan selamat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Seorang lagi dipercayai waris mangsa yang enggan dikenali turut mendakwa anak perempuannya yang berusia 37 tahun dan cucu lelakinya berusia satu tahun berada dalam kereta berkenaan.

“Kali terakhir saya bercakap (menerusi telefon) dengan anak (perempuan) saya pada jam 8 pagi (semalam). Dia juga ada menghantar gambar dia dan anaknya bersarapan kira-kira jam 9 pagi,” katanya.

Semua individu yang dipercayai waris mangsa hadir semula di Unit Forensik hospital berkenaan selepas membuat laporan polis bagi membuat pengecaman selain mengambil sampel untuk ujian DNA.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata kebiasaannya keputusan ujian DNA mengambil masa tujuh hari namun polis akan meminta pihak hospital mempercepatkan proses berkenaan.

“Keputusan ujian DNA mungkin diperoleh sekurang-kurangnya dalam tempoh empat hari untuk siasatan lanjut sebelum sebarang pengesahan termasuk identiti mangsa disahkan,” katanya.

Katanya, kemalangan itu membabitkan treler membawa muatan bijih besi dan tiga kereta masing-masing jenis Perodua Myvi, Proton Iswara dan Kia Forte dalam kejadian pada jam 11.47 pagi semalam.

Beliau berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan dua daripada kereta iaitu Myvi dan Iswara turut dirempuh treler berkenaan di bahagian kanan lebuh raya namun kedua-duanya selamat.

“Treler berkenaan bagaimanapun menghimpit Forte yang dinaiki lima mangsa sebelum kereta itu terbakar dan kelima-lima mangsa termasuk seorang kanak-kanak ditemui dalam keadaan rentung sepenuhnya.

“Hari ini difahamkan Unit Forensik polis akan membuat pemeriksaan semula di lokasi kejadian untuk mendapatkan gambaran lanjut berhubung insiden itu ,” katanya – berita harian