SEGAMAT: Bapa mangsa tragedi MH17 terkilan kerana belum menerima pelbagai barangan peribadi yang dijumpai di lokasi kejadian, selain pampasan penuh kepada waris.

Bapa kepada Hasni Hardi Parlan iaitu Parlan Mesiran, 65, berharap pihak berkaitan mempercepatkan pemulangan pelbagai barangan peribadi milik mangsa tragedi dan menyelesaikan pembayaran pampasan seperti dijanjikan sebelum ini.

Katanya, sebelum ini pihak MAS menunjukkan gambar beberapa barangan peribadi milik arwah termasuk pakaian, dokumen peribadi dan beg pakaian yang masih elok serta berjanji akan memulangkannya tetapi sehingga kini masih belum berbuat demikian.

 

Selain itu katanya, pihak berkaitan juga belum memberikan pampasan sewajarnya seperti dijanjikan dan berharap pihak kerajaan membantu mempercepatkan pampasan, selain memastikan proses pembayaran dibuat secara telus.

Beliau yang hairan tiada sambutan mengingati tragedi itu berkata, walaupun peristiwa itu sudah empat tahun berlalu, ia tetap akan diingati keluarganya.

“Tragedi itu berlaku selang sehari daripada tarikh ulang tahun kelahiran isteri dan sudah pasti kami akan mengingati tarikh ini. Sehingga kini, isteri juga akan melawat kubur arwah anak kami hampir setiap hari,” katanya.

MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki di kawasan bergolak di timur Ukraine berhampiran sempadan Russia pada 17 Julai 2014.

Nahas itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia.

Pada 28 September 2016, Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang disertai Belanda, Malaysia, Belgium, Ukraine dan Australia membuat kesimpulan bahawa pesawat itu ditembak oleh peluru berpandu BUK yang dibawa dari Russia ke Ukraine – berita harian