TAIPING: Kekayaan nilai warisan dan alam semulajadi yang melimpah di Taiping wajar dibangunkan secara menyeluruh sebagai salah satu tarikan negeri Perak yang bertaraf antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, penambahbaikan dan pembangunan tersebut akan dilaksana, berteraskan kepada keunikan Taiping sebagai bandar perintis di negeri ini.

Menurut beliau, antara pembangunan terkini adalah pembinaan Hotel Casuarina bertaraf empat bintang yang bernilai RM136 juta, bertujuan untuk merancakkan lagi ekonomi di bandar tersebut.
“Pelan perancangan tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco semalam (Selasa) dan pihak kerajaan negeri akan memastikan kawalan terhadap seni binanya dapat menonjolkan Taiping sebagai bandaraya warisan di negeri ini.

“Ianya harus bercirikan nilai sejarah sebenar di Taiping, bukannya bersifat terlalu moden dan komersial semata-mata,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Restoran Mergastua di Zoo Taiping dan Night Safari di sini, pada Rabu.

Dr Zambry berkata, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan pihak pemaju dan sektor pembinaan untuk memastikan segala susun atur pembangunan di Taiping dilaksanakan dengan mengambil kira nilai-nilai warisan.

Selain itu, beliau menggesa agar Majlis Perbandaran Taiping (MPT) untuk mengambil inisiatif menanam pokok-pokok tempatan yang mempunyai pelbagai variasi, sebagai identiti bandar tersebut, bukannya sekadar pokok-pokok dari luar negara.

 

 

Menurut Dr Zambry, pihaknya akan mengadakan perbincangan bagi memantapkan sistem pengangkutan awam melalui perkhidmatan Rapid Bus di sekitar lokasi yang dikenalpasti di negeri ini, bersama-sama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Selain itu, ujarnya, taman tasik pertama Malaysia iaitu Taiping Lake Garden juga bakal dibaikpulih dan diperkemas dengan kerjasama MPT dan kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, beliau berharap agar warga Taiping harus bekerjasama untuk menggarap kelebihan yang ada di bandar warisan itu, tidak bergantung kepada jabatan dan agensi semata-mata.

“Objektif utama kita ialah untuk mengangkat semua tarikan di bandar ini, bukan sahaja ala kadar tetapi dikenali sehingga ke persada antarabangsa,” kata beliau.