IPOH: Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) tidak pernah menerima sebarang dana atau peruntukan untuk kerja-kerja pemuliharaan Warisan Kapal Korek Tanjung Tualang 5 (TT5) seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang.

Tuduhan itu dilemparkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin (Amanah – Changkat Jering) dalam sesi perbahasan kononnnya TT5 mendapat peruntukan sebanyak RM10 juta daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Radzi berkata, MB Inc yang diberi mandat untuk mengawal selia khazanah negeri itu menggunakan bajet melalui wang simpanan mereka sendiri.

“PMB tidak pernah menerima jumlah wang seperti yang didakwa oleh ADUN Changkat Jering, segalanya dilakukan menggunakan dana tersendiri, justeru tuduhan itu adalah tidak berasas,” katanya kepada Suara Perak.

Jelasnya, kesemua perancangan itu dirangka secara teliti dan secara berperingkat mengikut panduan daripada Pelan Tindakan Strategik Pelancongan Negeri Perak.

Sementara itu, beliau turut menjawab persoalan ADUN Changkat Jering mengenai statistik terkini kadar kemasukan pelancong ke negeri Perak yang telah meningkat sebanyak 31,785 pada suku tahun pertama berbanding dengan 22,095 tempoh sama pada tahun lepas.

“Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) yang dinaiktaraf kini dapat menampung sebanyak 500,000 orang dalam masa setahun dan berdasarkan data Malaysia Airport Sdn Bhd, ianya telah meningkat secara positif sebanyak 21.1 peratus pada tahun 2016, 269,601 pelancong berbanding 222,606 pada tahun 2015.

“Kekerapan penerbangan juga telah meningkat secara baik pada suku tahun pertama dengan penambahan syarikat penerbangan seperti Tiger Air, Malindo dan ini menunjukkan bahawa walaupun ia masih berada di bawah kapasiti namun trend yang positif ini menampakkan peluang untuk meningkatkan lagi daya saing dan usaha pelancongan negeri melakukan lebih baik pada masa depan,” ujarnya.