KUALA LUMPUR : Percaturan Parti Warisan Sabah (WARISAN) tetap menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi ingin bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai ‘pendirian selamat’ bagi menghadapi segala kemungkinan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, yang mempersoalkan pendekatan itu berkata, mesej sedemikian berupaya diterjemahkan kepada beberapa makna tersirat, termasuk kecenderungan WARISAN menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri ketika sidang Parlimen, Mei ini.

“Hari ini Datuk Seri Shafie Afdal menyatakan WARISAN tetap menyokong Tun Dr Mahathir tetapi mahu bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apa punya pendirian ini? Mahu main dua kolam? Mahu main selamat?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafie yang juga Presiden WARISAN, hari ini mengumumkan kekal dengan pendirian bahawa Negeri Di Bawah Bayu itu tidak akan menyatakan sokongan politik terhadap Perikatan Nasional (PN), merangkumi gabungan UMNO, PAS, Barisan Nasional (BN) dan pecahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah itu memaklumkan, kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan diterajui PN akan terus dijalankan demi kepentingan rakyat dan negeri berkenaan.

Meneliti nada sokongan itu, Abdul Rahman berkata, ia mungkin bermaksud Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU di Sabah tidak akan diberi ruang menjadi sebahagian daripada barisan Kabinet negeri.

“Apakah pendirian BERSATU Sabah pula? Apakah mereka masih mesra WARISAN di Sabah sedangkan Perdana Menteri mereka tidak disokong oleh WARISAN?

“Shafie menidakkan peluang Ahli Parlimen WARISAN untuk menjadi menteri dan timbalan menteri atau memegang jawatan dalam agensi dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan).

“Saya masih teringat Shafie dulu memberi alasan bahawa YB (Yang Berhormat) BN melompat ke WARISAN kerana mereka ini mahu bersama dengan kerajaan untuk meneruskan pembangunan di kawasan masing-masing.

“Apa pun, hari ini adalah pandangan Shafie di depan tabir. Esok lusa kita tunggu pula pendirian di belakang tabir Ahli Parlimen WARISAN, pastinya menarik untuk mendengar bisikkan peribadi mereka,” katanya. -BH