Ayat “Ipoh mali talak sombong” sudah sinonim dengan bandar raya Ipoh, di sebalik ‘tagline’ itu, ramai yang beranggapan kawasan yang terkenal dengan perlombongan bijih timah suatu masa dahulu, dipelopori oleh masyarakat Cina.

Bagaimanapun, timbul perdebatan mengenai perkara itu disebabkan fakta sejarah menunjukkan perkembangan pekan Ipoh sememangnya dipengaruhi oleh keturunan Dato’ Panglima Kinta.

Menurut Presiden Persatuan Keluarga Panglima Kinta, Fazil Shuhaimi Talib, banyak sejarah berhubung kait dengan warisan Melayu tidak dipaparkan, sebaliknya secara halus digembar-gemburkan dengan kisah yang berpandukan catatan orang asing.

“Sejarah Melayu dan warisan di Ipoh, orang sudah lupa, benda itu tidak wujud sekarang dan orang tidak tahu. Apa yang saya hendak tekankan adalah cerita 350 tahun dulu yang tidak pernah dipaparkan dalam maklumat sejarah.

“Yang dipaparkan hanya tentang orang putih masuk, itu hanya dalam tempoh 150 tahun sahaja, mana pergi 350 tahun punya sejarah lagi?

“Jadi perkara ini perlu dikaji dan dipaparkan supaya kita sebagai orang Melayu ada jati diri masing-masing, masalahnya sekarang sejarah sudah hilang, jati diri hilang..maka kita hanya mampu banggakan warisan yang datang dari orang asing,” ujar Fazil ketika ditemubual Suara Perak.

Beliau ditemui di forum terbuka tentang penempatan awal Melayu di Ipoh yang dianjurkan oleh Persatuan Keluarga Panglima Kinta, di Ipoh, baru-baru ini.

“Kenapa Mahu Agungkan Warisan Penjajah?” (Sub)

Tegas Fazil, penempatan dalam peta awal Ipoh dari J.J.M. De Morgan turut membuktikan bandar ini bermula dari perkampungan yang dimiliki oleh orang Melayu pada sekitar tahun 1900 hingga 1950.

“Setiap kali saya datang ke Ipoh, orang akan bercerita atau berjenaka tentang ‘Ipoh Mali’ atau pelombong bijih timah, sebenarnya Ipoh bukan bandar Cina atau kolonial.

“Migrasi keturunan Panglima Kinta ke sesuatu kawasan menyebabkan terciptanya sebuah perkampungan lain, menerusi perkahwinan juga wujudnya penempatan baharu hingga terbinanya Ipoh seperti sekarang.

“Namun kenapa pembangunan sejarah yang ada tidak seimbang, mengapa kita lihat warisan masyarakat Cina dan British lebih banyak di Ipoh, di mana warisan kita? Kenapa tidak dipelihara?,” ujarnya.

Fazil turut melahirkan rasa kecewanya apabila sesetengah warisan penting Melayu yang masih tersisa di Ipoh tidak dipelihara, sebaliknya ada yang lebih mengagungkan tinggalan sejarah dari penjajah.

“Kita berbangga dengan kapal korek tinggalan British, orang itu datang dari luar negara dan dia kaut semua harta kita, dia bawa ke negeri dia sehingga kaya-raya, tetapi kita di sini papa kedana.

“Tumpuan patut diberikan pada warisan Diraja, Pembesar serta seni dan adat Melayu seperti warisan perdagangan bijih timah sebelum zaman penjajah iaitu lombong Melayu, lombong Siam.

“Kita nak war-warkan tentang mereka, mengapa? Itu bukan kita, sedangkan ada buku-buku sejarah berkenaan Ipoh pun tidak ditulis dengan tepat.

“Warisan tentang Kampung Kepayang pun tidak dipelihara dan mereka tidak prihatin tentang itu, sewajarnya pihak berwajib rujuk pada buku sejarah yang ditulis oleh orang Ipoh, kerana ada cerita keluarga yang orang luar tidak tahu,” katanya lagi.

Garis Masa Sejarah Ipoh/Kinta Hanya Dicatatkan Bermula Tahun 1870an (sub)

Fazil menambah, catatan sejarah mengenai Ipoh yang tertera di The Ipoh World Website bermula pada tahun 1870an, sedangkan ia sudah terbina sejak tahun 1530an lagi.

Katanya sejarah pada tahun 1870an itu hanya berkisar mengenai kedatangan British ke Perak, pembangunan industri bijih timah dan ladang getah oleh Inggeris sehingga Ipoh mendapat status bandaraya pada tahun 1988.

“Pada awalanya Lembah Kinta didiami oleh Orang Asli, Tun Kelalang membuka penempatan di Hulu Kinta, selepas berundur dari Hulu Perak apabila terjadi pertikaian antara Sultan Muzaffar Shah iaitu Sultan Perak 1 dan Tun Saban Balik.

“Mengikut Aminudin Baki dalam majalah ‘The Andersonian’, Ipoh terdiri daripada beberapa kampung, yang paling penting adalah Kampung Paloh, Kampung Changkat Sugu, Kampung Ipoh dan Kampung Masjid Lama.

“Pangkalan untuk berniaga wujud di tiga tempat di Ipoh iaitu Kampung Paloh, di jambatan Jalan Datok, sebelah kiri sungai; Kampung Ipoh berdekatan Masjid Dato’ Panglima Kinta, di sebelah kiri sungai serta Kampung Masjid yang dulu digelar panggung wayang Sun,” katanya.

Kerajaan Negeri Perlu Main Peranan Pertahan Warisan (sub)

“Bila kita bercerita soal warisan sejarah memang ia rumit untuk difahami, tambah lagi yang sudah ratusan tahun, tetapi itu yang perlu kita perjelaskan pada orang ramai,” kata Fazil.

Jelasnya penganjuran forum itu merupakan salah satu landasan untuk beliau memperbetulkan tanggapan masyarakat, selain menerima pendapat dan cadangan bagi memelihara warisan Melayu di Ipoh.

“Masalahnya sekarang disebabkan tiada buku yang diterbitkan khusus untuk menceritakan kisah warisan sebenar Ipoh, oleh itu kami dari Persatuan Keluarga Panglima Kinta sedang buat dan usahakan,”katanya.

Isu Kampung Kuchai Terbiar, Libatkan Pemilik Tanah

Sementara itu, Fazil turut mengulas nasib yang dihadapi oleh Kampung Kuchai, di mana ia turut tercatat dalam perkampungan awal Melayu di Ipoh.

“Situasi di sana agak rumit kerana ia milik tanah persendirian dari masyarakat Cina, dulunya ia kampung orang Melayu namun selepas itu djual kepada orang Cina dan mereka seakan tidak berminat untuk membangunkannya.

“Isu lain kerana tiada infrastruktur, kalau umpamanya orang beli tanah di Kampung Kuchai di tengah-tengah kawasan itu, ia tidak boleh dibangunkan kerana tiada jalan masuk untuk bina bangunan.

“Jalan penyelesaian ialah kerajaan perlu main peranan, langkah pertama kita dokumen kan apa yang ada tentang warisan Melayu, kemudian kita keluarkan rancangan pembangunan semula Kampung Kuchai, dalam masa sama kekalkan warisan sejarah Melayu di situ,” ujarnya.

(akan bersambung di edisi Suara Perak akan datang)