IPOH – Di sebalik kerancakan Pangkor Dialogue 2016 baru-baru ini, terdapat beberapa gerai pameran yang menonjolkan keunikan negeri Perak dalam bentuk produk serta warisan sejarah silam.

Antara yang menjadi tumpuan semestinya replika Istana Kenangan, Bukit Chandan yang diletakkan di bahagian hadapan pintu masuk Hotel Casuarina@Meru, Ipoh.

Struktur replika itu diadaptasi daripada Istana Kenangan yang kini dijadikan Muzium Diraja Perak, selain dikenali dengan keunikannya kerana dibina tanpa menggunakan sebarang paku pada setiap dinding.

Gerai pameran itu merupakan hasil kreatif pihak Tourism Perak dalam mempromosikan tempat-tempat pelancongan, khusus kepada para peserta yang datang berkampung di Ipoh sepanjang PIDD berlangsung.

Dalam pada itu, kakitangan Tourism Perak turut mengenakan pakaian tradisional negeri ini di mana lelaki lengkap dengan baju Melayu cekak musang, tengkolok, bengkung dan ikatan sampin perak manakala wanita lengkap berpakaian Puteri Perak.

Produk ‘signature’ Kuala Kangsar iaitu labu sayong turut dipamerkan kepada umum menerusi KZ Kraf Modern & Traditional Sayong Pottery.

Pengusaha labu sayong, Mohd Pareb Zamari dari Kepala Bendang Sayong, Kuala Kangsar berkata, peluang itu digunakan sebaiknya untuk memperkenalkan produk warisan negeri ke peringkat lebih jauh.

“Ini kali pertama saya sertai pameran di sini dengan kerjasama Tourism Perak dan Kraftangan Malaysia, antara labu sayong yang ada semestinya tradisional dan moden. Kalau labu sayong moden disertakan dengan lampu untuk dijadikan hiasan,” katanya.

Mohd Pareb berkata, dia menggunakan peluang Pangkor Dialogue itu untuk menunjukkan cara-cara membuat labu sayong kepada orang ramai dengan menggunakan peralatan tradisional.