Oleh: Nazialita Geynna Maharan

TELUK INTAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tegas menyatakan bahawa insiden warna bendera Indonesia yang dipaparkan secara terbalik di dalam buku cenderamata Sukan SEA KL 2017 adalah tidak disengajakan.

Beliau berkata, kedudukan warna bendera negara jiran itu juga dilakukan tanpa sebarang niat.

“Kita harus berfikiran terbuka, ianya tidak disengajakan…,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Teluk Intan di Dewan Bandaran Teluk Intan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) menerusi satu kenyataan menjelaskan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akan membuat kunjungan ke atas rakan sejawatnya, Imam Nahrawi, untuk sekali lagi mohon maaf bagi pihak MASOC.

Menerusi laman Twitter, Khairy menyatakan ‘Bapak Imam, Please accept my sincere apologies for this. Sesungguhnya tiada niat jahat. Saya amat kesal dengan kesilapan ini. Mohon maaf.’

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden berkata, upacara perasmian Sukan SEA KL 2017 baru-baru ini merupakan satu penanda aras bagi kejayaan penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.

Katanya, Malaysia telah berjaya melakukan permulaan cukup baik dari segi pencapaian pingat atlet pada Sukan Sea kali ini dan mengharapkan majlis penutup pada penghujung bulan Ogos akan mencatatkan kegemilangan yang sama baik dari segi pingat dan upacara penutupan.

“Kita harap bila menjadi tuan rumah, kita akan dapat menghasilkan jumlah pingat emas yang kita sasarkan iaitu 111, marilah kita ketepikan perbedaan kaum di antara kita, apatah lagi perbedaan politik.

“Kita bangkit bersama menyokong pencapaian atlit kita, semoga pelbagai sukan yang dipertandingkan kali ini akan digarap dengan semangat kesukanan yang tinggi, syabas kepada komitmen semua tenaga kerja di Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara, juga semua sukarelawan,” ujarnya.