BUKIT GANTANG – Kerajaan negeri komited melaksanakan segera pewartaan sebahagian besar tanah milik kerajaan di sepanjang Sungai Sepetang, di sini sebagai kawasan habitat kelip-kelip dalam tempoh segera.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, sebelum ini, terdapat penubuhan sebuah jawatankuasa khas diketuai Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Larut Matang bagi membincangkan usaha pewartaan 153 hektar tanah sepanjang Sungai Sepetang sebagai kawasan habitat kelip-kelip sebelum ini.

Bagaimanapun, Kar Hing menegaskan terdapat permasalahan dalam merealisasikan segera usaha pewartaan keseluruhan tanah tersebut kerana sebahagiannya dimiliki pemilik persendirian.

“Memandangkan isu pencerobohan haram tanah di sepanjang Sungai Sepetang semakin serius terutama tahun lalu, saya akan meminta jawatankuasa bertindak mewartakan segera mana-mana tanah milik kerajaan negeri sebagai kawasan habitat kelip-kelip Kampung Dew.

“Bagi tanah dikenal pasti milik pihak persendirian, kita akan cari jalan terbaik bagi menyelesaikannya dan saya juga sedang menyemak jumlah anggaran sebenar tanah persendirian yang terdapat di sepanjang sungai tersebut,” katanya kepada media pada Majlis Ramah Mesra TNB Bersama Ketua Komuniti Pusat Pelancongan Kelip-kelip Kampung Dew di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan( Hal Ehwal Korporat) TNB Berhad, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin.

Kar Hing berkata, langkah menyegerakan pewartaan kawasan habitat kelip-kelip Kampung Dew amat penting demi memelihara dan memulihara habitat kelip-kelip di sini yang antara pusat pelancongan kelip-kelip terbaik negara.

Selain langkah pewartaan kawasan habitat kelip-kelip, beliau turut menegaskan kerajaan negeri turut komited untuk menyediakan kemudahan infrastruktur asas sempurna bagi membolehkan kawasan sini dibangunkan sebagai mesra pelancongan.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga ingin memberikan latihan dan bantuan kerajaan lain kepada persatuan dan pemandu pelancong bagi memastikan mereka dapat memberikan promosi dan informasi tepat mengenai kawasan ekopelancongan terdapat di negeri Perak.

“Akhir sekali, sudah tentu langkah pengawalan kebersihan udara dan kualiti air agar kawasan habitat kelip-kelip dapat dikekalkan keindahannya melalui penganjuran program penyelidikan dan kajian berterusan oleh badan bertauliah,” katanya.

Bagi memenuhi aspirasi pengekalan keindahan kawasan pelancongan kelip-kelip di Kampung Dew, Kar Hing turut berterima kasih kepada TNB yang bekerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menawarkan  program kajian penyelidikan terhadap spesies kelip-kelip dan sampel bagi menguji kualiti air dan udara di kawasan pelancongan ini.

Menurutnya, kos pembangunan dan penyelidikan (R&D) sebenarnya sangat tinggi dan langkah TNB menawarkan CSR bagi membantu menjalankan penyelidikan di kawasan habitat kelip-kelip sebenarnya amat membantu mengurangkan beban kos ditanggung kerajaan negeri.

“Tempoh penyelidikan dijalankan dijangka sehingga hujung tahun ini dan berdasarkan hasil laporan kajian tersebut, kerajaan negeri akan memutuskan langkah efisien bagi meningkatkan imej dan kualiti lokasi ekopelancongan ini.

“Saya yakin dengan kerjasama jitu semua pihak termasuk Persatuan Pelancongan Kelip-kelip Kampung Dew, TNB dan UKM, kita akan menjadikan Jeti Kelip-kelip Kampung Dew sebagai kawasan pelancongan kelip-kelip terbaik di Malaysia,” katanya – sinar