IPOH: Kerajaan negeri Perak mencadangkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mempertimbangkan Pulau Jarak yang terletak di sempadan perairan Malaysia dan Indonesia diwartakan sebagai Taman Laut.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri juga menolak cadangan kementerian berkenaan sebelum ini yang mahu Pulau Sembilan dijadikan sebagai kawasan perwartaan itu.

“Kerajaan negeri telah menyampaikan pandangan kepada kementerian bahawa Perak tidak mempunyai bilangan pulau yang banyak.

“Pulau yang sewajarnya boleh dipertimbangkan oleh kerajaan persekutuan ialah Pulau Jarak yang terletak kira-kira 15 kilometer dengan sempadan Indonesia, ianya amat strategik namun itu pun tertakluk kepada penilaian agensi terlibat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini, hari ini.

Jelas Dr Zambry, Pulau Sembilan tidak sesuai diwartakan sebagai Taman Laut kerana kawasan itu merupakan sumber pengeluaran ikan utama di negeri ini.

Sekaligus ia akan menjejaskan aktiviti perikanan khususnya nelayan-nelayan kecil di Hutan Melintang, Bagan Datuk, Pulau Pangkor dan Pantai Remis, katanya.

“Sekiranya diwartakan, ia akan menjadi kawasan khusus untuk hidupan luat berkembang dan sebarang kegiatan perikanan tidak akan dibenarkan dalam lingkungan tiga hingga lima kilometer.

“Malah, Pulau Sembilan telah diwartakan sebagai Pulau Taman Negeri sebelum ini sebagai langkah menjaga ekosistem pulau-pulau dan terumbu di kawasan tersebut,” ujar beliau,

Pada Selasa, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memohon empat negeri yang masih tidak mempunyai taman laut mewartakan taman laut masing-masing bagi memastikan sumber ikan dan laut negara terus dipertahankan serta terpelihara daripada kepupusan.

Empat negeri berkenaan ialah Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.