BUKIT MERTAJAM: “Saya cuba menghalang dan bergelut dengannya, namun ditumbuk lelaki berkenaan hingga cermin mata pecah,” kata Lee Pei Pei, 35, wartawan akhbar berbahasa Cina yang disamun di Taman Impian Indah, Machang Bubok, di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika dia dalam perjalanan menuju ke rumah rakan untuk keluar makan.

“Ketika itu, saya memberhentikan kereta di Lorong 3 kawasan perumahan terbabit kerana menyangka sudah sampai di rumah rakan.

“Ketika saya mengambil beg tangan yang diletakkan dalam but kereta, rakan kemudian memberitahu rumahnya di Lorong 4 dan bukan di situ,” katanya.

Katanya, dia kemudian meletakkan beg tangan di tempat duduk penumpang dan mahu meneruskan perjalanan ke Lorong 4, namun secara tiba-tiba seorang lelaki meluru ke arah keretanya.

“Lelaki terbabit terus memecahkan cermin kereta di bahagian penumpang dengan besi yang diubahsuai menggunakan palam pencucuh.

“Dia cuba merampas beg tangan, namun saya melawan dan berlaku pergelutan sebelum lelaki terbabit melepaskan tumbukan,” katanya.

Pei Pei berkata, tumbukan itu menyebabkan cermin matanya pecah dan mata kanannya lebam, selain tangan kiri turut luka kerana terkena serpihan kaca.

“Berikutan kejadian itu, saya kerugian wang tunai RM3,000 yang juga duit raya anak untuk disimpan dalam bank.

“Selain itu, saya juga turut kehilangan dua telefon bimbit dan pelbagai dokumen peribadi,” katanya.

Katanya, lelaki itu kemudian melarikan diri bersama seorang lagi rakan yang menunggu di atas motosikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Katanya, polis kini sedang memburu dua suspek terbabit yang menunggang motosikal dan orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran – berita harian