PENDEKATAN wasatiyah (kesederhanaan) telah pun diangkat sebagai salah satu dasar negara. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan kelulusan Kabinet mengangkat pendekatan ini sebagai dasar negara selaras dengan tuntutan ajaran Islam. Pendekatan wasatiyah menekankan kesederhanaan, berimbang dan syumul dalam semua kegiatan hidup individu serta masyarakat dengan memberi penekanan kepada kualiti hidup ummah dari segi ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, pengetahuan dan perpaduan.

Nilai wasatiyah tidak mengajar orang ramai membenci sesama manusia, walaupun ada perbezaan akidah, fahaman dan anutan. Sikap menghina agama lain adalah ditegah. Perbezaan pendapat dalam pentadbiran dan politik harus diberi tumpuan kepada maslahat kebaikan komuniti, masyarakat dan negara sebagaimana kaedah mengatakan: Pentadbiran kerajaan ke atas rakyat diikat dengan maslahat.

Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tanpa mengetepikan agama-agama lain; kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak mengetepikan peranan bahasa-bahasa lain; dan kedudukan istimewa kaum Melayu dan Bumiputra tanpa mengetepikan kepentingan sah kaum-kaum lain. Ini adalah bukti kukuh tentang prinsip wasatiyah yang diamalkan di negara kita.
Jemaah Menteri bersepakat merangka struktur dan kerangka pelaksanaan Dasar Wasatiyah Negara (DWN) melalui :
1. Perpaduan dan integrasi nasional.

2. Ancaman pemikiran ekstremisme dan liberalisme melampau

3. Menangani persepsi dan pub-lisiti negatif terhadap Islam.

4. Gejala eksploitasi ilmu dan penularan ketaasuban dan fanatisme.

Kerajaan turut merangka Pelan Strategik Pendekatan Wasatiyah (2016 hingga 2020) sebagai dokumen penting DWN. Pendekatan wasatiyah sebagai dasar negara dilaksanakan melalui enam bidang strategik iaitu pendidikan dan belia, ekonomi dan pembangunan, pentadbiran dan perundangan, perpaduan dan sosial, politik dan kenegaraan serta keselamatan dan pertahanan.

Institut Wasatiyah Malaysia (IWM) dilantik sebagai agensi penyelaras melaksanakan pendekatan wasatiyah. Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Wasatiyah Peringkat Kebang-saan, agensi dan negeri turut diwujudkan.

Penghayatan wasatiyah dalam pentadbiran Malaysia berasaskan model Rasulullah SAW yang menjadi contoh terbaik kepada setiap Muslim. Dalam konteks kejayaan penghayatan wasatiyah dalam pentadbiran kerajaan, beberapa kaedah penting dijadikan rujukan dan panduan iaitu:

Piagam Madinah memperlihatkan nilai toleransi Baginda SAW terhadap penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya menjadi satu umat yang diberi hak serta kebebasan selagi mereka tidak menggugat keselamatan orang Islam.

Maqasid syariah memberi ruang kebaikan dan kemaslahatan kepada manusia. Bagi tujuan ini syariat Islam mewajibkan keperluan daruriyyat (maslahat asas) hajiyyat (maslahat keperluan) dan tahsiniyyat (maslahat kesempurnaan). Taraf keutamaan di antara daruriyyat juga berbeza. Maslahat daruriyyat yang tertinggi ialah agama diikuti nyawa, akal, keturunan dan harta (ikut tertib).

Siyasah syariyyah iaitu hukum yang dilaksanakan berdasarkan kemaslahatan ummah. Ia merupakan suatu pendekatan semasa bagi menyelesaikan maslahat masyarakat dan negara agar lebih rasional dan fleksibel.

Fiqh awlawiyyat bererti bagaimana meletakkan sesuatu perkara itu kena pada martabat dan kedudukannya yang wajar.

Hikmah bererti kebijaksanaan dan kecerdikan meletakkan sesuatu kena pada tempatnya, dalam pemerintahan kebijaksanaan sangat penting kerana para pemimpin sentiasa terdedah dengan pelbagai kesulitan untuk membuat keputusan dan tindakan.

Kesederhanaan mendidik masyarakat dan kepimpinan negara tidak bersikap ekstrem, gopoh dan rasis. Pendekatan wasatiyah atau kesederhanaan dijadikan momentum membina negara.

Kemampuan Malaysia merapatkan hubungan antara Barat dan Islam adalah contoh kejayaan pendekatan wasatiyyah dalam menangani pelbagai isu dan konflik di rantau ini. Misalnya kejayaan sebagai orang tengah dalam krisis selatan Filipina yang membuktikan Malaysia dihormati bukan saja di kalangan negara Islam, bahkan negara Barat.

Malaysia turut memainkan peranan menyebar luas pendekatan kesederhanaan supaya masyarakat dunia tidak terperangkap dengan fahaman mahupun ideologi yang terlalu ekstrem, sehingga terjerumus ke kancah salah tafsir konsep jihad seperti IS atau Daesh.

Terbaru, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud, Raja Arab Saudi bersetuju mewujudkan King Salman Centre for Global Peace di Malaysia sebagai platform bekerjasama dengan negara-negara lain untuk menyebar luas pendekatan wasatiyah.

* Tan Sri Dr Abdullah Muhammad Zin Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

-SinarHarian