IPOH – Konsep wasatiyah yang holistik atau Kesederhanaan Islam merupakan pendekatan yang terbaik untuk memerangi keganasan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah kembali kepada paradigma wasatiyah yang memang merupakan akar umbi di dalam tradisi Islam adalah sangat tepat pada masanya dan merupakan “spiritual refreshing”.

Jelas beliau, konsep itu boleh mengembalikan keadilan dan kesederhanaan dari cengkaman segala jenis ekstremisme serta membuka lebih ruang untuk kestabilan dan makna yang lebih mendalam di kalangan masyrakat.

“Hari ini, pendekatan wasatiyyah mendapat tempat di kalangan ahli akademik, pemimpin dan juga pembuat dasar di dalam dunia Islam.

”Perkataan wasatiyyah juga dapat didengari di peringkat tertinggi pembuat keputusan (kerajaan) di Ibu kota Eropah, Amerika Syarikat dan Asia,” katanya pada Siri Ceramah Intelek bertajuk “Fighting Extremism Through Islamic Moderation (Wasatiyyah)” di St Anthony’s College, Universiy of Oxford, di United Kingdom pada Rabu.

Beliau turut mencadangkan satu insiatif penyelidikan bersama di antara Pusat Pengajian Asia Universiti Oxford, Kolej St. Anthony dan Institut Wasatiyyah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi bekerjasama dalam meneroka konsep wasatiyyah yang holistik.

Beliau juga berharap penyelidikan secara bersama berdasarkan diplomasi itu dapat membuka jalan untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan tindakan serang menyerang dalam mana-mana konflik bersenjata dan menjadi medium pengantara yang rasional di antara kedua-dua belah pihak.

“Ini akan mengelakkan kematian orang awam pada skala besar dan memastikan collateral damage itu berada di tahap minima serta diharapkan dapat menamat perang berkenaan dalam jangka masa panjang.

“Pasukan pengaman berdasarkan wasatiyyah yang bekerja dengan prinsip damai dengan orang yang mencintai keamanaan serta menolak pihak melakukan keganasan perlu diwujudkan untuk melaksanakan prinsip-prinsip diplomasi berdasarkan kesederhanaan dan menolak sebarang konflik di antara mana-mana pihak,” ujarnya.

Di permulaan ceramahnya, Dr. Zambry berkata, ramai telah lupa bahawa keganasan telah bermula daripada fahaman pelampau yang dibawa oleh Peperangan Terhadap Keganasan yang dimulakan Pentadbiran Bush di Afghanistan dan Iraq.

Katanya, ia telah menjadi trend hari ini untuk mempersoalkan ajaran Islam bagi menghukum majoriti yang tidak bersuara menentang kumpulan minoriti yang menyokong, melakukan kerosakkan, pelampau atau tindakan radikal.

“Ini sudah tentu mengabaikan fakta bahawa kesederhanaan begitu berakar umbi dalam pandangan dunia Islam kerana ia adalah satu amalan harian dalam kehidupan Muslim di mana-mana.

“Mereka terus mempersoalkan umat Islam, mengapa berdiam diri terhadap tindakan melampau yang begitu berbeza dengan amalan harian, kesederhanaan dalam ketaatan kepada agama yang menyokong doktrin keharmonian dalam masyarakat,” tegasnya.

Dr. Zambry menambah, terdapat juga keperluan untuk menjelaskan persepsi yang berbeza-beza mengenai wasatiyyah di kalangan umat Islam kerana mereka juga seolah-olah mempunyai pandangan yang berbeza mengenai perkara itu.

“Oleh itu, adalah penting untuk memahami konsep Islam daripada sumber-sumber berwibawa Al-Quran dan As-Sunnah, dua sumber utama kepercayaan dan pandangan dunia Islam,” katanya.

Beliau memberitahu, konsep wasatiyyah dalam al-Quran telah disebut dalam Surah Al-Baqarah tentang komuniti jalan tengah yang menjadi saksi kepada kebenaran sebelum manusia.

Dr. Zambry menegaskan bahawa kualiti yang paling penting untuk menjadi saksi adalah keadilan yang menyeluruh kepada Allah, agama, manusia dan semua makhluk, alam dan kepada diri sendiri.

 “Keadilan memerlukan kita menjadi pihak tengah di antara dua pihak lawan atau lebih, tanpa bersifat berat sebelah, dan tidak terpengaruh dengan emosi atau prejudis dalam membuat pertimbangan, keputusan atau dalam menyelesaikan pertikaian,” katanya.

Dalam konteks wasatiyyah di Malaysia, Dr. Zambry berkata, ianya tidak terkecuali dari pengaruh economic extremism, Malaysia mengamalkan wasatiyyah holistik yang berkembang daripada tradisi Islam nya yang unik serta diwarisi dalam bentuk budaya Melayu.

Beliau berkata, negara ini telah membuktikan ia boleh menyesuaikan diri dengan cabaran dunia moden dan dalam masa sama, mengekalkan semangat ummah dalam mempromosikan keharmonian dan kewujudan bersama.

“Malah, secara jujurnya, ia boleh dikatakankan Malaysia moden hari telah terbina dengan prinsip  kesederhanaan itu sendiri,” ujarnya.

Dr. Zambry menambah, walaupun majoriti rakyat negara ini beragama Islam dan perlembangaanya juga mengangkat Islam sebagai agama rasmi Malaysia, namun ia masih memberi kebebasan serta terbuka kepada agama lain.

Beliau berkata, berdasarkan etnik yang pelbagai di Malaysia, perpaduan negara terus menjadi objektif utama.

“Malaysia telah membuat keputusan memilih integrasi berbanding asimilasi. Malaysia menerima kepelbagaian yang ada. Kita tidak hanya bertolak ansur antara satu sama lain tetapi kita juga menerima dan meraikan kepelbagaian.

“Dengan memanfaatkan keteguhan dan kedinamikan kepelbagaian yang ada ini juga, kita telah mencipta satu asas untuk daya jati negara.

“Tidak seperti negara-negara berbilang kaum lain dalam tempoh pasca penjajah, negara ini telah mengunakan kepelbagaian etnik sebagai sumber kekuatan dan bukannya konflik,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak juga telah membawa konsep wasatiyyah satu langkah kehadapan dengan menggabungkan falsafah negara iaitu 1Malaysia  yang menekankan kepentingan perpaduan negara tanpa mengira kaum, latar belakang atau kepercayaan agama untuk membangun dan mengukuhkan masyarakat.

Tambah beliau lagi, selaku Menteri Besar Perak, antara usaha bagi menangani ekstremisme adalah dengan memperkasakan golongan miskin kerana kemiskinan boleh dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai umpan merekrut pengganas.

“Oleh itu, sebaik  saya mengambil alih pucuk pimpinan kerajaan negeri Perak pada 2009, saya jadikan ianya satu keutamaan untuk memperkenalkan program pemerdayaan dan pembasmian kemiskinan sementara mempertingkatkan program sedia ada.

“Bagi tempoh tahun 2009 hingga 2014, kadar kemiskinan telah dikurangkan daripada 3.5% kepada 0.7%; kadar kemiskinan tegar berkurangan daripada 0.5% kepada 0.1%, pendapatan kasar isi rumah meningkat daripada RM2, 809 kepada RM4,268; dan yang paling penting Gini coefficient telah dikurangkan daripada 0,408 kepada 0,366, ” katanya.

Dr. Zambry turut berjanji bahawa apa sahaja cabaran politik yang dihadapi oleh negeri dan negara, beliau akan kekal fokus sepenuhnya kepada inisiatif itu untuk membantu golongan miskin supaya mereka tidak menjadi sasaran oleh puak ekstremis.