PARIT BUNTAR – Pesawah di daerah Kerian diminta mengawasi tanaman mereka daripada ancaman siput gondang emas yang menyebabkan hasil padi berkurangan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, ini berikutan terdapat laporan petani tidak dapat membayar upah pekerja  selepas pendapatan mereka terjejas akibat serangan siput gondang emas.

“Para petani perlu mengutip siput itu dan buang jika tidak ia akan terus membiak dengan bertelur dan memusnahkan tanaman.

“Langkah ini juga dapat membantu merealisasikan sasaran kerajaan negeri untuk meningkatkan pengeluaran padi daripada empat tan kepada lima tan sehektar tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Informasi Pertanian peringkat Kerian, di sini semalam.

Beliau juga meminta petani melakukan kerja-kerja sampingan termasuk menceburi industri asas tani bagi memastikan pendapatan mereka tidak terjejas sekiranya bendang mereka mengeluarkan hasil yang berkurangan.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Yunus berkata Perak mempunyai kawasan padi seluas 40,833 hektar dengan Kerian mempunyai keluasan terbesar pada 20,972 hektar melibatkan kira-kira 8,000 pesawah.

Katanya, daerah itu mengeluarkan kira-kira 86,000 tan padi setiap musim yang menghasilkan 56,000 tan beras.

“Sumbangan jelapang padi Kerian akan memastikan industri padi dapat menampung keperluan beras negara,” katanya. – Bernama