IPOH – Penduduk dan wakil jabatan dalam kawasan Tanjung Malim diminta lebih berwaspada dengan kehadiran beberapa individu luar yang menyamar sebagai wakil Pejabat Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang berkata, kegiatan pihak tidak bertanggungjawab yang dikesan berlaku sejak dua bulan lalu itu menggunakan nama beliau untuk menghadiri program serta mengendalikan urusan melibatkan kerajaan dan parti.

Menurutnya, ada daripada aduan diterima, individu terbabit mendesak  jabatan dan agensi kerajaan untuk mendapatkan projek demi kepentingan peribadi.

“Ini sesuatu yang serius dan tidak boleh dibiarkan kerana boleh menimbulkan salah faham, sepanjang menjadi wakil rakyat di sini, saya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat sokongan kepada mana-mana pihak.

“Adalah lebih baik jika pihak didatangi individu seperti ini, tampil ke pejabat saya untuk mendapatkan pengesahan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, buat masa ini tiga pegawai dilantik untuk membantunya dalam urusan di kawasan iaitu Setiausaha Politik, Cheong Xue Mei dan dua pegawai khas, Muhamad Alif Asyraf Abdul Rahim serta Huzaifah Hisamudin.

Katanya, untuk sebarang jemputan, beliau sendiri atau tiga pegawainya yang akan menjawab terus kepada pihak penganjur.

“Kita belum lagi dapat mengenalpasti pihak yang terlibat dalam hal ini, namun sekiranya berlarutan dan semakin serius, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Wakil rakyat PKR itu juga memaklumkan, setiap aktiviti mahupun program melibatkan beliau dimuat naik melalui dua Facebook rasmi https://www.facebook.com/clihkang/ dan https://www.facebook.com/changlihkang.

– sinar