IPOH – Ragut, pecah kereta dan curi kenderaan antara jenayah yang perlu diberi perhatian serius sepanjang operasi bazar Ramadan.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak, Asisten Komisioner GS Suressh Kumar berkata, kes-kes berkenaan antara yang kerap dilaporkan berlaku khusus melibatkan pengunjung bazar.

Bagaimanapun menurutnya, sepanjang tempoh empat hari ini, belum ada sebarang laporan melibatkan kes jenayah di bazar Ramadan diterima.

“Walaupun tiada kes direkodkan setakat ini, pemantauan dan kawalan tetap dijalankan.

“Pegawai dan anggota kita ditempatkan di bazar-bazar seluruh negeri untuk meyakinkan masyarakat akan kehadiran polis di lokasi,” katanya ketika ditemui pada Op Cegah Jenayah sempena Ramadan di bazar Ramadan Medan Gopeng hari ini.

Beliau berkata, program itu dijalankan serentak di semua 15 Ibu Pejabat Polis Daerah seluruh Perak dan akan berterusan hingga akhir operasi bazar.

“Ini menjadi satu daripada strategi kita untuk memberi kesedaran kepada masyarakat akan elemen-elemen jenayah yang mungkin ada di sekitar mereka dan mencegahnya daripada berlaku,” katanya – sinar harian