IPOH – Orang awam dinasihatkan berwaspada dengan taktik pihak tertentu yang cuba menyamar sebagai pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak bagi tujuan jenayah seperti tujuan menipu, memeras dan mengutip wang.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, nasihat itu disampaikan susulan penahanan tiga suspek menyamar sebagai pegawai KPDNHEP selepas melakukan ‘serbuan dan rampasan’ rokok dari kedai runcit di Manjung, Perak dengan memakai ‘vest’ yang mempunyai lambang KPDNHEP, Jumaat lalu.

Menurutnya, kesemua pegawai penguat kuasa KPDNHEP yang diarahkan menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan diwajibkan memakai pakaian seragam agensi.

“Selain itu, mereka juga wajib menunjukkan kad kuasa yang memaparkan nama penuh pegawai, nombor MyKad, gambar pegawai dan nombor siri kad kuasa kepada pemilik premis diperiksa.

“Pihak kami tidak akan sewenang-wenangnya melakukan tindakan pemeriksaan tanpa mengikut standard prosedur ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Saifullizan berkata, orang ramai diminta menghubungi mana-mana pejabat KPDNHEP yang terdekat atau membuat laporan polis sekiranya meragui status mana-mana individu atau kumpulan yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa untuk membuat pemeriksaan di premis perniagaan.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Manjung menahan tiga lelaki yang menyamar sebagai KPDNHEP di hadapan sebuah pasaraya di Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, mereka ditahan selepas pihak polis menerima maklumat bahawa terdapat sebuah kereta Proton Iswara berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga lelaki berusia antara 38 hingga 58 tahun berada dalam kereta tersebut.

“Siasatan mendapati mereka baru sahaja selesai menyamar sebagai pegawai KPDNHEP dengan menyerbu sebuah kedai runcit di Sitiawan,” katanya – sinar harian