KUALA KANGSAR – Peniaga dinasihatkan berhati-hati dengan individu yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ketua Cawangan KPDNHEP Kuala Kangsar, Ahmad Puat Abdul Hamid berkata, ia berikutan pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan memperdayakan peniaga untuk menyerahkan sejumlah wang.

“Modus operandinya, suspek menyamar dengan menggunakan nama dan logo KPDNHEP dengan memakai pakaian biasa membuat pemeriksaan di pasar, pasar raya dan semua bentuk premis perniagaan.

“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP tidak memakai baju T, jaket dan seluar jeans ketika pemeriksaan. Kami memakai pakaian seragam dan mempunyai kad kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Ahmad Puat berkata, peniaga boleh mengambil gambar individu yang menyamar dan kenderaan yang digunakan dalam usaha memberkas mereka.

“Pihak kami menasihatkan orang ramai berhubung dengan KPDNHEP sekiranya meragui status pegawai penguat kuasa yang membuat pemeriksaan mengejut.

“Mereka digalakkan untuk terus membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya – sinar