IPOH: Penduduk di negeri ini digesa berwaspada dan bersiap sedia dengan jangkaan peningkatan mendadak kes wabak denggi pada penghujung tahun 2017 sehingga awal tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan trend yang ditunjukkan sebelum ini.

Beliau berkata, justeru rakyat perlu bersiap sedia dan melakukan tindakan pencegahan wabak itu mulai sekarang.

“Melalui trend yang ditunjukkan sebelum ini, dari pertengahan November sehingga Februari lazimnya kes-kes denggi akan meningkat dengan amat mendadak berbanding tempoh-tempoh lain.

“Boleh dikatakan pada tahun ini, setakat 9 Disember kumulatif kes denggi di Perak mencatatkan 5,265 kes dan sebahagian besar daripadanya terjadi pada permulaan tahun sehingga Februari,” katanya dalam satu sidang media khas di sini pada Khamis.

Jelas Dr Mah, cuaca merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan mendadak kes berkenaan serta sikap sambil lewa sesetengah anggota masyarakat sendiri.

“Kajian yang dibuat mendapati hampir 50 peratus daripada tempat pembiakan nyamuk di negeri ini adalah di tapak pembuangan sampah haram dan lot-lot premis yang kosong.

“Kita tidak boleh berbuat apa-apa yang berkaitan dengan cuaca namun dari segi sikap itu, kita boleh ubah. Sekiranya semua memainkan peranan masing-masing, tidak mustahil peningkatan ini kita dapat elakkan,” ujarnya.

Beliau berkata, sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan meningkatkan kempen kesedaran serta program gotong royong di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi masalah tersebut.

“Kita telah pun mula mengadakan kempen serta program gotong royong, malah agensi-agensi lain di negeri ini turut mewujudkan insiatif mereka sendiri dengan mengadakan gotong royong bersepadu. Dan kita akan meneruskannya.

“Saya minta orang ramai memberi kerjasama dengan mengambil bahagian dalam program-program yang diadakan ini, malah lebih baik jika mereka juga mengambil insiatif mengadakan gotong royong, dan menjaga persekitaran taman perumahan masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mah memberitahu, secara keseluruhannya, kes denggi di Perak sehingga 9 Disember lalu, berbanding tempoh sama tahun lepas, telah mencatat peningkatan 48.4 peratus, iaitu daripada 3,549 kepada 5,266 kes.

Katanya, dalam tempoh sama juga, terdapat 12 kes kematian akibat denggi yang dilaporkan, lebih tinggi berbanding 10 kes pada tahun 2016.

“Kes demam denggi yang tertinggi dicatatkan adalah di Kinta dengan 3,059 kes; diikuti dengan daerah Larut Matang dan Selama dengan 548 kes,” jelasnya.