KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia menasihati orang awam berwaspada dengan tanda-tanda serangan strok haba akibat cuaca panas terik yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia sejak beberapa hari lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (gambar kecil) berkata, orang awam perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan pengambilan air yang mencukupi lebih-lebih lagi jika mereka terlibat dengan aktiviti sukan atau kerja luar.

“Antara tanda-tanda strok haba adalah seperti sakit kepala, lidah bengkak, tidak berpeluh, lesu, hilang fokus dan pengsan.

“Sekiranya keadaan ini berlaku, orang awam dinasihatkan agar mendapatkan rawatan di pusat perubatan dalam kadar yang segera,” katanya.

Menurut Profesor Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Fredolin Tangang, cuaca panas yang melanda negara terutamanya di pantai barat dan utara Semenanjung sejak beberapa hari lalu berpunca daripada tempias Taufan Lan.

Taufan itu menyebabkan suhu di kebanyakan kawasan di Malaysia melebihi 33 darjah Celsius.

Berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi, bacaan purata suhu di Semenanjung Malaysia semalam adalah antara 33 darjah Celsius hingga 34 darjah Celsius.

-Kosmo Online