IPOH – Orang ramai diminta agar berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan kegiatan sindiket yang melakukan penipuan menggunakan nama kerajaan negeri yang sedang berlaku di Lenggong.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sindiket itu dikesan menggunakan nama kerajaan negeri bagi memanipulasi dan menipu mangsa bagi penjualan tanah seluas 121,405 hektar (300,000 ekar) di kawasan tersebut.

Menurut beliau, sindiket itu akan berjumpa bakal pembeli untuk memperdayakan mangsa supaya sejumlah wang transaksi dibuat bagi mendapatkan tanah dan projek di kawasan itu.

“Tanah yang akan dibangunkan untuk tujuan perladangan dan pertanian kononnya dibangunkan oleh sebuah syarikat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco negeri di sini pada Rabu.

Dr Zambry berkata, perkara itu telah dimaklumkan oleh sekumpulan pemaju yang meminta kepastian kepada kerajaan negeri berhubung penjualan tanah berkenaan.

“Kerajaan negeri juga telah mengarahkan Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) membuat laporan polis bagi membuat siasatan terhadap perkara ini,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, sebenarnya tidak ada tanah seluas 300,000 ekar yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada individu atau syarikat, malah kerajaan negeri juga tidak memiliki tanah seluas itu.

Beliau juga meminta agar orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sindiket penipuan tersebut untuk tampil memaklumkan perkara itu kepada pihak kerajaan negeri.