MANJUNG – Watak pemimpin DAP seperti Setiausaha Agungnya, Nga Kor Ming seharusnya dapat membuka mata rakyat Malaysia akan bahaya sekiranya parti ini mendapat mandat untuk memerintah negara selepas Pilihan Raya (PRU) ke-14.

Pengerusi Barisan Nasional Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sikap yang ditunjukkan Kor Ming yang celupar dan suka mempersendakan orang lain termasuk mereka yang merupakan sekutunya mencerminkan keangkuhan parti itu.

“Saya yakin sekutunya pun tidak selesa dengan beliau, pimpinan utama dalam gabungan pembangkang ini tentunya pasti tidak selesa kerana kenyataan yang cukup-cukup celupar dan mempermainkan watak-watak orang tertentu.

“Tidak ada tatasusila menghormati orang, bayangkan calon Perdana Menteri mereka pun, dia boleh main, bayangkanlah watak seperti ini yang hendak jadi calon menteri,” katanya merujuk kepada Kor Ming yang dikatakan bakal dilantik Menteri sekiranya PKR memenangi PRU ini.

Dr Zambry berkata pengundi juga harus tahu bahawa DAP merupakan parti politik yang sentiasa meletakkan kepentingan mereka sendiri manakala orang lain boleh diperkotak-katikan.

“Biarlah orang ramai menilai sendiri bagaimana permainan DAP ini dalam memastikan agar mereka terus berkuasa, mereka letak meletakkan calonnya (Dr Abdul Aziz Bari untuk DUN Tebing Tinggi), calon yang mereka paling sayang pun seperti Nizar (bekas Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin), sanggup dia ketepikan,” ujar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan anggota seumur hidup DAP, Amran Ahmad tentang hasrat DAP menuntut jawatan Menteri Besar Perak jika Pakatan menang di Perak.

Dr. Zambry menambah, perkara itu diperkukuhkan dengan kenyataan Amran yang sememangnya dalam kalangan ahli DAP sendiri.

“Walaupun mereka (DAP) nak sebutkan bahawa bukan orang ini atau itu, mereka menafikan, untuk setakat ini dia nafikan dahulu tapi kita dapat lihat perancangan DAP sebenarnya di Perak,” katanya.

Katanya lagi BN khususnya UMNO sering dipersalahkan sebagai bertanggungjawab menakut-nakutkan rakyat terhadap parti DAP.

“Kita dengar kononnya ada hujah katakan tak perlu takut dengan DAP, cuba tengoklah di Perak, bila tengok watak-watak ini fikirlah elok-elok,nilailah sendiri,” katanya.

BERITA BERKENAANPilih Pemimpin Berwiba Yang Angkat Islam Sebagai Agenda Pentadbiran – Mufti Perak