PETALING JAYA : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berterima kasih kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana memutuskan untuk mengekalkan beliau sebagai menteri Kabinet susulan keputusan inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menyatakan perdana menteri lebih mengetahui berhubung keputusan itu, Waytha Moorthy berkata: “Lantikan saya adalah ikut budi bicara perdana menteri dan perdana menteri telah sebut, maka tidak perlu saya huraikan lagi.”

Terdahulu beliau merasmikan Program Penghayatan Rukun Negara di sini hari ini.

Walaupun terdapat desakan supaya dipecat, Mahathir hari ini berkata, Waytha Moorthy kekal sebagai anggota Kabinet.

Pada Januari lepas, Mahathir dilaporkan berkata beliau akan membuat keputusan mengenai kedudukan Waytha Moorthy sebagai menteri selepas menerima laporan penuh inkues kematian Muhammad Adib susulan terdapat desakan yang mahu menteri itu dipecat.

Mahkamah Koroner, Shah Alam pada 27 September lepas memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan susulan kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya, Selangor pada 27 Nov tahun lepas, adalah akibat perbuatan jenayah oleh lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Muhammad Adib, yang merupakan anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, meninggal dunia pada 17 Dis lepas selepas 21 hari bertarung nyawa susulan insiden berkenaan.

Mengenai keputusan inkues Muhammad Adib itu, Waytha Moorthy dipetik Bernama berkata, beliau berpuas hati dan menerima keputusan itu sepertimana diputuskan mahkamah.

Terdahulu ketika ditemui di Putrajaya pagi tadi, Mahathir berkata Waytha Moorthy kekal sebagai menteri walaupun terdapat desakan beliau dipecat susulan keputusan inkues.
“Saya tak nampak ada masalah, jadi untuk waktu ini saya masih boleh simpan dia (Waytha Moorthy) sebagai menteri,” katanya.

Pemimpin Umno, PAS dan MCA berkata desakan meletak jawatan itu wajar setelah Waytha Moorthy dilihat gagal memainkan peranan terutama dalam meredakan api perkauman dalam insiden rusuhan di Subang Jaya sehingga mengakibatkan kematian Muhammad Adib.