SUNGAI PETANI: Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam atau satu perhimpunan akan diadakan di Putrajaya.

Pengasas Skuad Badar yang mewakili gabungan berkenaan, Azhar Mohamad, berkata pihaknya memberi tempoh seminggu kepada Wathya Moorthy untuk berbuat demikian.

“Kita minta Wathya Moorthy menarik balik pembohongan, penipuan yang dilakukannya dengan menuduh rakyat Malaysia berlaku zalim kepada orang India dengan cara merobohkan kuil.

“Ini satu pembohongan. Tarik balik…kalau dia tidak mahu, kami akan gerakkan NGO seluruh Malaysia berhimpun di Putrajaya untuk gesa dia tarik balik dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam. Kami beri seminggu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

NGO lain yang turut hadir adalah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kedah, Pertubuhan Si’rah Malaysia dan Persatuan Putra Melayu Kedah.

Azhar berkata, kenyataan Wathya Moorthy jelas satu pembohongan di mana rakyat negara ini hidup aman damai, walaupun berbeza bangsa dan agama.

“Kita tidak menzalimi mana-mana kaum, sebaliknya berlaku adil kepada semua. Kita tidak meruntuhkan mana-mana kuil seperti yang didakwa.

“Dia sudah membusukkan nama Malaysia di luar negara,” katanya.

Pada sidang media yang sama, gabungan NGO ini turut membantah cadangan ratifikasi Konvokesyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Kami tidak mahu ICERD dimeterai. Banyak kemudaratan dan kepincangan sekiranya ia ditandatangani.

“Kami tidak mahu langsung ICERD, kami minta ia dihilangkan terus. Hentikan dan jangan cakap langsung mengenai ICERD kerana ia berlakunya perhimpunan di seluruh negara,” katanya – berita harian