MANJUNG: Pihak Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) diminta mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah banjir di beberapa kawasan di Lekir.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah mendapat laporan daripada masyarakat di kawasan Batu 10, Batu 12, Batu 14 dan Batu 15 Lekir mengenai banjir yang berlaku.

Menurut beliau, hujan lebat yang berlaku baru-baru ini telah menyebabkan beberapa kawasan berkenaan ditenggelami air untuk tempoh yang lama.

“Salah satu punca ialah culvert yang kecil yang dibina pihak WCE di mana sebelum ini ada tiga tetapi saya dimaklumkan oleh orang kampung kini hanya ada satu.

“Ini menyebabkan kandungan air tidak mampu mengalir keluar menyebabkannya tersekat hingga mengambil masa hampir dua minggu,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan pelancongan di Kg Tanjung Kepah, Lekir dekat sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim dan Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Terdahulu mereka turut meninjau kawasan yang dilanda banjir.

Dr Zambry berkata, banjir telah menenggelamkan kawasan yang agak luas, termasuk ladang yang ada di sekitar kawasan berkenaan.

Menurut beliau, Pegawai Daerah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengadakan perbincangan awal dengan pihak WCE untuk mengambil langkah sewajarnya.

“Saya harap penyelesaian yang akan dibuat perlu mengambil pandangan orang kampung bagaimana hendah menyelesaikan masaah itu agar tidak berulang di masa depan,” ujarnya.