IPOH: Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2017 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) akan berlangsung pada 20 dan 21 November ini dengan tema Ke­amanan Sejagat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, WCIT 2017 yang berlangsung di Hotel Casuarina@ Meru di Ipoh akan disertai cendekiawan terkemuka dunia dengan memberi tumpuan kepada soal keamanan kemanusiaan melalui gabungan pemikiran Islam.

Menurut beliau, beberapa tokoh besar dunia akan hadir pada persidangan itu, antaranya, Susilo Bambang Yudhayono (bekas Presiden Indodesia), Tan Sri Dr. Surin Pitsuwan (bekas Setiausaha Agung ASEAN), Shaykh Muhammad Yahaya al-Ninowy (pengasas Madina Institute) dan Prof Bruce Lawrence (professor bidang perbandingan agama di Duke University, USA).

Di samping itu, ujarnya, beberapa tokoh tempatan untuk hadir, antaranya Prof Datuk Dr Murad Merican, Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah, Tan Sri Razali Ismail, Dr. Chandra Muzaffar dan Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw.

Beliau menambah, nama-nama besar lain yang turut hadir ialah aktivitis terkenal yang menyertai misi bantuan ke Gaza (Gaza Flotilla Chalenger 1, Mavi Marmara), Kol (B) Ann Wright dan Duta Besar Singapura ke Kemboja, Mushahid Ali.

“Persidangan kali ini memberi fokus kepada keadaan dunia yang berlaku hari ini, lebih-lebih lagi apabila Islam sering diberi gambar negatif dan dikaitkan dengan keganasan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini pada Isnin.

Hadir sama Setiasausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria dan Naib Canselor USAS, Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Dr Zambry berharap, WCIT 2017 akan memberi impak besar, bukan sahaja kepada penganjurkan program besar kepada Perak tetapi juga menjadi tumpuan ilmuan untuk mencari penyelesaian dunia.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan untuk menyampaikan titah utama dan pembukaan manakala majlis penutup dijangka disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Selain tema utama Keamanan Sejagat, WCIT 2017 turut membicangkan enam sub tema iaitu Konflik Sosial & Pelampau Agama; Isu-isu Kemanusiaan & Keamanan Sejagat; Falsafah & Tradisi Kerohaniaannya; Kuasa, Politik & Media; Geostrategi & Keamanan Global dan Pendidikan & Belia.

Lebih 1,000 peserta dari dalam negara dan dari 12 buah negara luar dijangka menghadiri persidangan kali keempat, selepas 2012, 2014 dan 2016.