BRIGHTON: Arsene Wenger sudah biasa memekakkan telinga dengan tuntutan meletak jawatan tetapi kedudukannya sebagai pengendali Arsenal semakin goyah menjelang pertemuan dengan Brighton esok.

Kekalahan 3-0 di tangan Manchester City di Stadium Emirates Khamis lalu membuatkan kritikan terhadap Wenger dan anak buahnya memuncak, selepas kekalahan pada final Piala Liga di tangan lawan sama empat hari sebelum itu.

Jurang antara kedua-dua pasukan menunjukkan betapa jauh Arsenal tergelincir di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris dan ribuan kerusi kosong ketika perlawanan kedua memberi petanda yang tempoh tempoh 22 tahun Wenger bersama kelab sudah menghampiri penghujung.

Cuaca buruk antara punca tidak ramai yang hadir menyaksikan perlawanan di utara London, tetapi hakikat yang penyokong Arsenal sudah muak dengan prestasi di atas padang juga cukup jelas.

Malah salah seorang bekas pemain kendalian Wenger, Martin Keown turut mendesak Arsenal melepaskan saja pengendali dari Perancis itu.

Bagaimanapun Wenger terus mempertahankan kedudukannya dan berkata tidak ada yang memalukan apabila tewas kepada pasukan hebat seperti City.

“Anda lihat kepada keputusan dan merasakan ia sesuatu yang mengarut, tetapi itu bukan keadaan sebenar,” katanya. “Anda perlu melihat melihatnya secara menyeluruh.

“Lihat di mana kelemahan dan kekuatan kita, tingkatkan kekuatan itu dan sisih kelemahan yang kita ada. Mereka pasukan yang terbaik ketika ini, mereka meninggalkan semua orang, bukan hanya kita.

“Ia bukan satu kebetulan, mereka hanya tewas sekali sepanjang kempen Liga Perdana.”

Skuad Wenger kini di tangga keenam, 10 mata di belakang tangga keempat dan kemenangan Liga Europa adalah peluang terbaik buat mereka untuk kembali menyertai kancah Liga Juara-Juara.

“Saya sentiasa bersedia untuk berjuang. Sudah tentu saya kecewa tetapi saya sudah mengharungi situasi sebegini. Saya berdepan situasi sukar dalam hidup saya dan ia membantu apabila anda tahu untuk menanganinya,” katanya. – AFP