MEE UDANG – makanan ikon Kuala Sepetang, di Taiping tidak perlu lagi diperkenalkan lagi. Keenakan rasa dan saiz udangnya sudah banyak terpampang di dalam media, termasuklah media baharu.

Malah, kata kunci Kuala Sepetang di carian Google, akan menghubungkan pencari terus kepada mee udang yang begitu popular di sini.

Sebagai pengunjung yang baharu saja menjejaki tempat ini, pastinya rambang mata memilih gerai yang menepati selera masing-masing.

Nama-nama gerai lazimnya menggunakan nama panggilan mesra pengusaha, misalnya mak teh, mak jah, mak ngah dan sebagainya.

IMG_2229

Kriteria mee udang di sini bukan biasa-biasa kerana kuah dan kuantiti udang yang diletakkan dalam semangkuk hidangan semestinya berbaloi dengan harga, bak kata orang selak udang baru nampak mee, lebih kurang begitulah perumpamaannya.

Bagaimanapun, kerana kenaikan kos sara hidup, harga udang juga semakin mahal menyebabkan bilangan udang di dalam mee juga berkurangan.

 Permulaan Wilayah Mee Udang

Bilangan gerai menjual mee udang di sepanjang jalan menuju ke Kuala Sepetang memang banyak, tidak terkira jumlahnya. Kalau bukan mee udang, pasti di hujung-hujung nama gerai itu ada tertulis udang.

Namun gerai yang sering meniti di bibir penggemar makanan ini tentunya Mee Udang Mak Jah dan Mee UdangMak Teh. Kedua-duanya sudah mempunyai pelanggan tetap sendiri walaupun jarak di antara satu sama lain tidak begitu jauh.

Kunjungan ke Kuala Sepetang berjaya menemukan wakil Suara Perak dengan Seti Zaleha Osmand, 66, atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Teh oleh penduduk setempat.

Mak Teh merupakan salah seorang pengusaha mee udang di sini dengan yang popular dengan gerai Mak Teh MeeBanjir Udang.

“Mak Teh mulakan perniagaan di sini sejak 25 tahun dahulu, waktu itu belum ada lagi menu makanan seperti sekarang.

“Dulu Kuala Sepetang memang tiada deretan kedai yang jual mee udang macam sekarang, kalau adapun, yang menjual mee sup ayam, daging atau tomyam,” katanya yang dibantu 10 ahli keluarga.

Merebak Ke Tempat Lain

Menurut Mak Teh, ketika itu dia bersama suami hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual roti canai di waktu pagi dan mula memperkenalkan mee udang kepada pelanggan pada waktu petang.

“Seingat Mak Teh, pada sekitar tahun 90an, ramai yang bekerja di kawasan hutan di sini dan di dapur arang (pembuatan kayu arang)…ramai yang bertumpu di gerai Mak Teh.

“Ketika itu, harga semangkuk baru RM3 saja sebab udangnya tidaklah besar seperti sekarang, tetapi sambutan pelanggan sangat menggalakkan, sampai tidak menang tangan,” ujarnya.

Bermula daripada itulah, gerai Mak Teh menjadi sebutan ramai, sehingga tumbuh satu demi satu gerai meeudang, umpama cendewan selepas hujan.

Berdekatan Dengan Jeti Kuala Sepetang

Kedudukan Kuala Sepetang yang berhampiran dengan perkampungan nelayan turut menjadi faktor mee udangdiangkat sebagai antara ‘menu wajib’ jika bertandang ke pekan kecil itu.

Salah seorang peraih di Kuala Sepetang memberitahu udang bersaiz besar akan disimpan dan diagihkan kepada pengusaha gerai mee udang setiap hari.

IMG_2255

“Ada jenis-jenis tertentu sahaja yang boleh dibuat mee udang, kalau kecil mereka (pembeli) tidak mahu kerana kurang sesuai untuk berniaga,” kata peraih yang mahu dikenali sebagai Lee.

Ia turut diakui sendiri oleh Mak Teh kerana sebelum ini dia juga berpengalaman mengail udang di Kuala Sepetang.

“Kawasan ini memang tempat nelayan menaikkan hasil laut seperti ikan, sotong, ketam atau udang,” tambahnya.

Mak Teh mengakui dia dan keluarga pernah berusaha sendiri mencari udang untuk keperluan perniagaannya tetapi kini tidak lagi kerana faktor usia dan kesihatan.

“Sekarang sudah ada peraih yang memang akan simpankan stok udang setiap hari untuk gerai ini, jadi bekalan tidak pernah putus,” katanya.