KUALA LUMPUR : Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini merupakan hala tuju baharu ekonomi negara untuk semua rakyat Malaysia namun keutamaan diberi kepada golongan miskin yang tidak mendapat bahagian mereka dalam kekayaan negara selama ini.

Perdana Menteri berkata, turut akan ditekankan dalam WKB 2030 adalah golongan bumiputera iaitu orang Melayu dan etnik di Sabah dan Sarawak yang masih merupakan di antara golongan yang termiskin di negara ini.

“Tumpuan perlu diberikan supaya mereka dapat kejar golongan yang sudah kaya dan berjaya, namun kita kali ini berbeza sedikit, kita nak tumpukan akhir hasilnya ialah agihan yang saksama dan bukan pemberian peluang yang saksama.

“Untuk itu kita akan pilih-pilih mereka yang akan dapat peluang iaitu mereka yang mampu dan ingin dan berusaha untuk memperbaiki diri. Golongan itu akan dibantu, jika mereka tidak mempunyai pengalaman dan tidak mempunyai pelajaran ataupun idea berkenaan kerja-kerja yang hendak dilakukan, kita akan latih mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran WKB 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Dr. Mahathir antara aspek yang akan dilatih kepada golongan tersebut adalah mengenai aspek pengurusan kewangan yang didapati banyak dalam kalangan golongan berpendapatan rendah tidak memahami mengenainya.

“Mereka anggap wang adalah satu alat untuk tukar apa yang mereka nak iaitu dengan membeli, tetapi wang sebagai modal kurang difaham atau tidak faham sama sekali oleh golongan yang sekarang ini miskin.

“Sehubungan itu, kita akan ada satu usaha khusus untuk mengajar mereka supaya mereka faham cara-cara mengguna dan menguruskan wang, jika itu dapat dikuasai oleh mereka kita juga akan memperkenalkan melalui perniagaan-perniagaan kecil yang boleh diurus oleh mereka sehingga saya yakin mereka kali ini akan capai hasil yang baik bukan seperti dahulu,” katanya.-UTUSAN ONLINE