IPOH: Kementerian Kesihatan masih belum dapat mengumumkan keputusan kajian pelaksanaan kaedah pelepasan nyamuk mengandungi mikro-organisme `Wolbachia’.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, ini kerana projek perintis itu masih dalam proses kajian pihak kementerian.

Menurut beliau, kajian dijalankan untuk memahami tingkah laku spesis nyamuk penyebar penyakit itu di dua kawasan di Selangor dan keputusan kajian dijangka diumumkan awal Mac ini.

“Menerusi kajian itu nanti, kita akan lihat keputusannya sama ada ia berguna atau sebaliknya, sebelum sebarang keputusan dibuat untuk mengumumkannya dan ini akan mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan di Klinik Kesihatan Buntong, Ipoh pada Isnin.

Hadir sama Penasihat Menteri Besar Perak, Datuk V. Elango.