BERUAS: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mahu Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengambil langkah mewujudkan hubungan baik antara ibu bapa dan pihak sekolah.

Beliau turut berharap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan penting, bersama-sama pihak sekolah meningkatkan pembangunan sekolah, baik dari segi pendidikan, mahupun ko kurikulum.

Menurut beliau, berdasarkan pengalaman di negara-negara seperti Finland dan Jepun, penglibatan ibu bapa sangat penting dalam pendidikan anak-anak mereka.

“Saya harap Pengarah Pendidikan dan PPD dapat wujudkan hubungan ini, walaupun sukar tetapi lama kelamaan ia akan biasa,” katanya ketika berucap di majlis Bual Bicara PIBG di SMK Raja Shahriman di sini pada Rabu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria, ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim dan Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Mat Lazim Idris.

Dr Zambry berkata, hubungan baik antara ibu bapa dan guru-guru dapat menyelesaikan masalah ponteng sekolah di samping boleh membantu meningkatkan keputusan peperiksaan.

Dalam masa sama, kata beliau, ukuran pendidikan bukan semata-mata terletak kepada berapa banyak A yang diperolehi para pelajar.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang paling penting ialah keupayaan untuk mendidik pelajar menjadi manusia yang berguna.

“Bukan bermakna A itu tidak penting, ia tetap penting tetapi yang paling penting ialah membentuk pelajar menjadi manusia,” ujarnya.

Beliau memberi contoh, di Jepun pendidikan awal mereka memberi penekanan kepada nilai kehidupan, seperti mencuci tandas dan mengutip sampah.