BATU GAJAH– Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan agar diwujudkan anugerah khas bagi Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri tahun ini, demi memberi rangsangan kepada mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing.

Mahfuz yang juga Pengerusi majlis pertandingan anugerah itu berkata, golongan OKU yang menerima anugerah tersebut itu nanti boleh menjadi ikon kepada insan normal lain, khususnya mereka yang masih menganggur.

Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri merupakan anugerah tertinggi dalam pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan yang mula diperkenalkan pada tahun 1991.

“Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri ini dijalankan setiap tahun, saya cadangakan anugerah khas diwujudkan kepada OKU, untuk menjadi rangsangan kepada orang yang celik, sempurna sifat mereka.

“Untuk melihat ini contoh yang terbaik, dan juga dalam bidang kemahiran dia (OKU) bukan saja menjadi ikon kepada penganggur tetapi juga kepada sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) itu sendiri

“Sama ada anugerah khas ini kita nak buat dalam bentuk pertandingan di kalangan OKU atau bagaimana prosedurnya, kita akan bincangkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika lawatan kerja di bengkel motosikal OKU milik Azhar Ibrahim, di Kampung Batu 6, Jalan Tanjung Tualang, di sini pada Khamis.

Azhar, 34, yang dilahirkan cacat penglihatan menjadi sebutan masyarakat setempat kerana menjadi mekanik yang berkebolehan membaiki motosikal.

Ujarnya, walaupun dilahirkan begitu, dia dapat “melihat” bahagian-bahagian motosikal dengan menggunakan tangannya.

“Tidak kira orang OKU atau biasa, pada yang tidak bekerja masih menganggur… usahalah, bukan nak kata saya membangga diri, tapi saya kalau tidak bekerja, tiadalah sumber pendapatan.

“Kita boleh berdikari dan jangan harap ibu bapa lagi, saya cari sendiri dan tahu kehidupan kami susah, cukuplah sekadar mereka tanggung kita makan, carilah peluang yang ada di merata dunia ini,” katanya.