Kerajaan negeri diminta mempertimbangkan semula cadangan untuk mewujudkan santuari gajah di sepanjang laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Datuk Mohd Termizi Idris berkata langkah perlu memandangkan terdapatnya aduan gangguan gajah liar yang semakin kerap di kawasan penempatan penduduk sekitar Gerik.

Beliau berkata pemindahan gajah liar yang dibuat di kawasan lain ke hutan sekitar daerah Hulu Perak mungkin telah menyebabkan peningkatan aduan gangguan haiwan liar itu dikawasan Gerik.

“Pemindahan gajah liar mungkin dah selesaikan masalah gangguan di kawasan lain seperti di Hulu Kinta, tetapi tidak di daerah ini kerana kumpulan gajah yang tidak dapat sesuaikan diri dengan persekitaran baru dan mula keluar ke kawasan penempatan penduduk.

“Kesannya bukan sahaja mengancam tanaman malah keselamatan penduduk,” katanya ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan Bajet Negeri Perak 2017 pada Rabu.

Beliau berkata, kewujudan pusat santuari sepertimana Pusat Konservasi Gajah di Pahang akan dapat menyelesaikan masalah gangguan gajah liar untuk tempoh jangka masa panjang.

“Sekarang ni masalah gajah lebih menghantui penduduk berbanding masalah lain, kita mempunyai jajaran yang luas sepanjang laluan JRTB ini, jadi sewajarnya ia dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.