LUMUT: Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di sini, hari ini.

Sambutan di Dewan Shariff itu berlangsung meriah dengan kehadiran 8,000 ‘navy people’ yang berkhidmat di pangkalan berkenaan.

Hadir sama Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Mohamad Adib Abdul Samad yang baru memulakan tugas beliau pada 10 Julai lalu.

Program itu juga adalah kehadiran julung kali YAB Ahmad Faizal ke pangkalan tersebut selepas beliau menjadi Menteri Besar Perak sejak Mei lalu.

Beliau di dalam ucapannya berkata, kali pertama memasuki kawasan pangkalan ini ketika menonton bola sepak bersama-sama Dr Nomee ketika di awal perkenalan mereka.

“Kami adalah penyokong fanatik Perak, sanggup lukis-lukis muka.

“Ketika itu kami berharap nak terus masuk dalam, tapi alhamdulillah, dengan izin Allah, hari ini kami dapat masuk,” katanya ketika mengimbau kenangan lama.

Sementara itu, Laksamana Madya Mohamad Adib di dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar kerana sudi hadir ke majlis itu.

Kehadiran YAB Ahmad Faizal turut diambil kesempatan oleh anggota TLDM dan keluarga mereka untuk bergambar kenang-kenangan dan bersuafoto.

Beliau dan isteri turut meluangkan masa bermesra dan bertanya khabar warga TLDM yang hadir di samping bergambar beramai-ramai dengan hadirin.

1/6