IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan calon-calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) supaya yakin dan redha untuk menghadapi peperiksaan itu yang dijadualkan bermula 13 November ini.

Menurut beliau, mereka tidak perlu bimbang untuk menghadapi peperiksaan, sekiranya telah membuat persiapan rapi.

Sebaliknya, kata beliau, mereka hanya perlu masuk ke dewan peperiksaan dengan yakin dan menjawab soalan-soalan yang diberikan dengan tenang.

“Yakin dan percaya pada diri sendiri, insya Allah kita akan berjaya,” katanya ketika berucap pada majlid restu ilmu SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Ipoh, di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi dan Pengetua SMK Convent, Toh Suat Goh.

Ahmad Faizal berkata, para pelajar perlu sama-sama realisasikan impian ibu bapa, keluarga, guru-guru dan negara untuk mencapai kejayaan.

Bagaimanapun, kata beliau, kejayaan tidak datang dengan mudah tetapi memerlukan pengorbanan yang berlipat ganda.

Oleh itu, ujarnya, mereka perlu mengenang jasa dan pengorbanan semua pihak, khususnya ibu bapa dan guru-guru.

“Jangan hampakan harapan mereka untuk melihat kita berjaya,” tambahnya.

SMK Convent yang diasaskan pada 1907, mempunyai 67 guru dengan 816 murid pada sesi pagi dan petang.

Seramai 183 calon sekolah itu akan menduduki SPM tahun ini.