Nama: Nurul Huda Nordin Ahmad, 36.

Tempat Lahir: Tapah

Status: Berkahwin (2 anak)

Pendidikan:

Diploma Pengurusan Teknologi UTM

Pekerjaan: Berniaga sendiri

Jawatan Dalam Parti:

– Timbalan Pengerusi Tetap Puteri UMNO Malaysia

– Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tapah

Jawatan Dalam NGO:

– Pengerusi JPP Zon 14 Daerah Batang Padang

– Timbalan Pengerusi SRCC

– Naib Pengerusi KSK DUN Ayer Kuning

MENGHARUNGI kempen pilihan raya tidak pernah mudah. Ia memerlukan persediaan mental yang jitu selain menagih kudrat yang bukan kepalang.

   Namun bagi wanita ini, semua itu adalah lumrah dalam perjuangan politik. Bagi Nurul Huda Nordin Ahmad, 38, cabaran getir itu adalah satu kepuasan, lebih-lebih lagi jika ia terbalas dengan kejayaan parti.

   Ketua Puteri UMNO Bahagian Tapah itu menghimbau pengalaman mengharungi kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dalam keadaan beliau sarat mengandung lapan bulan anak keduanya.

   Beliau melupakan sementara kesulitan semasa mengandung seperti sakit pinggang dan `morning sickness’ atau alahan demi memastikan partinya mencapai kejayaan.

   Pengorbanannya ternyata berbaloi apabila Barisan Nasional (BN) menyapu bersih Parlimen Tapah termasuk dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Ayer Kuning dan Chendriang.

   Namun, Nurul Huda masih merendah diri dan menyifatkan sumbangannya tidaklah seberapa tetapi sekadar membantu apa yang termampu, berdasarkan kudrat yang ada.

   “Apa yang penting, saya membawa anak saya ke dalam kebanyakan program parti, sejak dia dalam kandungan lagi. Setidak-tidaknya saya berharap ia dapat merasai denyut perjuangan parti,” katanya ketika ditemui Suara Perak baru-baru ini.

   Timbalan Pengerusi Tetap Puteri UMNO Malaysia itu mahu menyampaikan mesej bahawa berkeluarga bukan satu halangan untuk bergiat dalam politik.

 

 Malah, beliau sendiri menggalakkan Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Tapah membawa anak-anak mereka setiap kali mereka bermesyuarat sama ada di sekitar Tapah atau di tempat lain.

  

“Sebagai orang parti, kita mesti mendidik sejak mereka kecil supaya apabila besar kelak, mereka mudah memahami erti perjuangan. Kita perlu mendidik mereka untuk membezakan antara dakyah dan kebenaran,” ujarnya.

   Nurul mengakui minatnya terhadap UMNO dan BN telah dipupuk oleh kedua-dua ibu bapanya sejak beliau kecil.

   “Emak saya orang Muar, yang memang menjadi kubu kuat UMNO. Penglibatan mereka sedikit sebanyak menyebabkan saya sebati dengan perjuangan UMNO sehinggalah hari ini,” katanya.

   Nurul Huda mula bergiat aktif dalam parti bermula sejak Puteri UMNO ditubuhkan ketika usianya mencecah 21 tahun.

   Bakatnya sebagai pemimpin muda digilap apabila dipilih sebagai Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Tapah pada tahun 2004 dan seterusnya menjadi pemangku ketua selepas itu.

   Pada tahun 2008, beliau dipilih menjadi Ketua Puteri UMNO Bahagian Tapah dan menang dalam pertandingan jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Puteri UMNO Malaysia pada tahun yang sama.

   Membincangkan mengenai pelbagai isu semasa, ibu kepada dua orang anak ini membangkitkan kenyataan pemimpin kerajaan sendiri yang memberi impak tidak baik kepada kerajaan.

   “Ada di antara Menteri kita, ketika menjawab soalan, seolah-olah mereka sebagai individu, bukannya wakil kerajaan. Sebab itulah ada jawapan mereka bertukar menjadi `backfire’ kepada kerajaan .

   “Generasi muda sekarang semakin kritis dan cukup sensitif dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin kita yang boleh diikuti melalui media alternatif. Oleh itu pemimpin mesti lebih berhati-hati setiap kali mengeluarkan kenyataan,” ujarnya.

   Beliau menambah, pemimpin sekarang perlu mengikuti realiti semasa bahawa orang muda sudah berubah, kritis, gemar sesuatu yang mencabar dan suka mencuba sesuatu yang baharu.

   “Oleh itu, pemimpin juga mesti berjiwa muda, menyakini idea orang muda, barulah proses peremajaan parti dapat direalisasikan dengan lebih berkesan dan parti akan terus relevan,” tambahnya.

   Mengenai langkah kerajaan untuk meningkatkan 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat dasar, Nurul berkata, wanita muda seharusnya mengambil peluang daripada langkah kerajaan ini.

   “Usaha kerajaan ini memberi peluang lebih luas kepada kaum wanita dan sebagai wanita muda, kita juga tidak harus melepaskan peluang keemasan ini begitu sahaja, sebaliknya harus berusaha lebih untuk mempertingkat dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan,” katanya penuh yakin. hasil pelancaran projek kitar semula ini, kita berjaya mengurangkan longgokkan sampah di kawasan tersebut,” ujarnya.