PETALING JAYA: Pelajar Universiti Malaya (UM) yang mencetuskan kontroversi berkelakuan biadap dengan mengadakan protes semasa majlis konvokesyen, baru-baru ini menafikan penglibatannya menggodam laman web e-bayaran universiti itu.

Dalam satu kenyataan, Wong Yan Ke berkata dia mendapat tahu laman web itu digodam petang semalam dan mahu menjelaskan bahawa dia tidak ada kena mengena situasi itu.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenai sains komputer, dan saya tidak mengarahkan sesiapa melakukan ini bagi pihak saya,” katanya.

Dia juga menunjukkan gambar mesej yang dia kongsikan di Facebook dua hari lalu, di mana tulisannya sama seperti yang tertera di laman web itu. Ia tertulis: “Saya rela mati berdiri daripada hidup melutut. Jika kata-kata saya mengancam mereka yang berkuasa, jadi biarkan. Jika gambar saya mengejutkan orang ramai, itu adalah baik. Gigi anda akan gugur, pedang saya akan naik.”

Dia bagaimanapun nafi terlibat mengodam laman web tersebut.