GOPENG – Dalam usaha untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh komuniti Orang Asli dalam mendapatkan pendidikan awal kanak-kanak buat pertama kalinya Yayasan Eco World melalui tanggungjawab korporat sosialnya menyumbangkan sebanyak RM200,000 kepada Persatuan Kebajikan Suara Kanak-Kanak Malaysia (Suka Society) untuk menjalankan program Empowered 2 Teach (E2T), sebuah model pemerkasaan pendidikan.

Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye berkata yayasan tersebut berpegang kuat kepada pendidikan sebagai pelaburan masa hadapan negara dan komited dalam memberi peluang pendidikan kepada kanak-kanak pelbagai bangsa.

Tambah beliau pendidikan yang baik boleh mengubah hidup seseorang ke tahap yang lebih baik dan tidak ragu-ragu dalam membiayai program E2T.

Program tersebut telah dimulakan oleh Suka Society pada tahun lalu dan telah berjaya melahirkan 10 orang guru pra-sekolah Orang Asli yang telah memulakan pra-sekolah mereka sendiri di beberapa perkampungan Orang Asli pada tahun ini. Terdapat tujuh pra-sekolah di Gua Musang, Kelantan dan tiga lagi di rompin, Pahang di bawah Social Outcome Fund oleh Agensi Inovasi Malaysia.

“Ini merupakan kali pertama Yayasan Eco World terlibat dalam satu program yang melibatkan golongan Orang Asli.

“Ini amat bermakna kerana bagi saya, setiap warga Malaysia berhak untuk diberikan pendidikan yang baik untuk membolehkan mereka membesar, mendapat ilmu pengetahuan dan dilatih sebagai profesional untuk masa akan datang supaya mereka bolehlah menyumbang kepada pembangunan negara dan sebagainya,” ujar beliau.

Beliau bercakap kepada pemberita di dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan program Pemerkasaaan Murid Pra-Sekolah Orang Asli Empowered 2 Teach di Perkampungan Orang Asli Sungai Poh, Gopeng, di sini, pada Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia Naser Jaafar, Pengarah Ekskutif Suka Society Anderson Selvasegaram dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Eco World Datuk Liew Siong Sing.

Menurut Lee, golongan Orang Asli merupakan golongan yang patut dibantu kerana selama ini mereka dianggap sebagai ataupun golongan terpinggir.

“Dengan adanya bantuan yang diberikan dariSUKA Society dan juga mungkin organisasi yang lain dan dengan inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan, saya anggap bahawa ini adalah satu program yang sepatutnya kita teruskan,” tambah beliau.

Lee turut menyerahkan sumbangan alat tulis, buku mewarna serta pensel warna kepada 16 pelajar pra-sekolah Kampung Orang Asli Sungai Poh dalam majlis tersebut.

Terdahulu, dalam ucapan beliau Naser berkata E2T ialah program yang melatih dan memberi motivasi kepada bakat-bakat terpendam dalam kalangan komuniti Orang Asli yang boleh diperkasakan bagi memulakan kelas pra-sekolah di kampung mereka yang merupakan satu strategi yang bertujuan untuk merapatkan jurang pendidikan awal dalam kalangan komuniti orang asli.

Naser menambah, mereka positif bahawa model E2T ini boleh menzahirkan kemampanan pendidikan yang lebih baik serta keberkesanan dalam penyampaian pendidikan tahap pra-sekolah yang lebih baik bagi kanak-kanak yang tinggal di kawasan pedalaman.