Oleh:Nazialita Geynna Maharan

GERIK: Yayasan Emkay dilihat sebagai perintis utama kepada saranan kerajaan negeri Perak dalam mengalakkan pendekatan secara terus kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Semelor, kata Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu.

Malah, beliau mengagumi inisiatif murni melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka yang telah membangunkan sebuah perkampungan masyarakat peribumi secara holistik sejak 10 tahun lepas.

Terletak sekitar 190 kilometer daripada bandaraya Ipoh dan perjalanan 45 minit menaiki bot ke kampung itu juga tidak menjadi alasan kepada Yayasan Emkay di bawah teraju salah satu Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Perak iaitu Tan Sri (Dr) Mustapha Kamal Abu Bakar.

Ahmad Faizal berkata, usaha murni yayasan berkenaan menjadi inspirasi kepada kerajaan negeri dalam gerak kerja membangunkan sektor pendidikan, khususnya di kawasan pedalaman yang terpisah dari modernisasi.

“Apa yang saya ada ialah idea dan perancangan untuk masyarakat Orang Asal tapi setibanya saya di sini, saya begitu kagum kerana Emkay ini telah melaksanakannya dengan begitu baik sekali. Kita harus berbangga dengan usaha Tan Sri Mustapha Kamal, keluarga serta keluarga besarnya dalam Kumpulan Emkay dan sukarelawan.

“Satu perkara yang paling saya kagum ialah penubuhan Toy Library di sini, di mana semua sukarelawan dan kakitangan Kumpulan Emkay datang ke kampung ini, setiap minggu atau bulan, bagi mengajar anak-anak masyarakat Orang Asal di kampung ini.

“(Sebolehnya),perkara ini saya nak wujudkan dan bawa ke kampung-kampung masyarakat Orang Asli dan semoga Yayasan Emkay terus diberi ruang dan berjaya berbakti kepada masyarakat khususnya, Orang Asal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media dalam satu siri lawatan kerja di Kampung Semelor, di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi, Pengarah Eksekutif Kumpulan Emkay, Datuk Fazwinna Mustapha Kamal serta Pengarah Kumpulan Emkay Ahmad Khalif Mustapha Kamal.

1/5