IPOH: Yayasan Perak menyahut saranan kerajaan negeri dalam memastikan susun kerja dan pentadbiran yang telus dengan menyertai gerakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Pengurus Besarnya, Aida Hazlyn Hassan berkata, inisiatif itu merupakan tanda sokongan yayasan itu untuk mengekalkan nilai integriti dalam perlaksanaan tugas seharian dan diusahakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, Yayasan Perak menjadi yayasan pertama yang mengikuti langkah kerajaan negeri dalam menyertai ikrar tersebut, serta mengambil inspirasi daripada Pejabat Menteri Besar dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

“Tumpuan utama kami dalam memerangi rasuah selari dengan fungsi kami dalam pembiayaan dan penyaluran dana melalui yayasan, bagi mengelakkan ketirisan dan sebagainya.

“Kami sentiasa berpegang kepada persekitaran kerja berprinsip tinggi, berakhlak, amanah dan sentiasa menerapkan nilai murni dalam sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di sini pada Selasa.

Majlis itu disaksikan oleh Pengarah SPRM Perak, Datuk Nooraziah Abd Manaf.

Menurut Aida Hazlyn, majlis itu merupakan komitmen kedua-dua pihak untuk sentiasa memastikan keberhasilan kerja menjadi fokus mereka.